Friday, August 27, 2021

Pasangan kekasih cedera akibat diserang, motosikal dilarikan

Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM

PETALING JAYA: Sepasang kekasih cedera selepas dipercayai diserang serta disamun tiga lelaki di Jalan Kuching menghala pusat bandar dekat sini, tengah malam tadi.

Kejadian 12.10 tengah malam itu dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang menaiki motosikal Y15ZR dari arah Jalan Kuching menghala ke Jinjang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan kejadian mengenai kejadian itu pada 11 pagi ini.

Katanya, ketika kejadian, mangsa didatangi dua lelaki menaiki motosikal RS150 warna kelabu sebelum menarik tangan mangsa.

“Suspek kemudian melibas mangga rantai motosikal pada bahagian belakang topi keledar dipakai mangsa.

“Mangsa kemudian membuat pusingan dari Jalan Kuching menghala ke pusat bandar, namun sekali lagi dihimpit motosikal sama dan suspek menendang motosikalnya sehingga menyebabkan hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Eng Lai berkata, tindakan suspek itu mengakibatkan kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan dan salah seorang suspek terus melarikan motosikal mangsa.

Ujarnya, mangsa dibantu orang awam yang berada di lokasi sebelum dibawa ke HKL untuk rawatan.

“Akibat kejadian itu, mangsa lelaki cedera di muka dan badan manakala teman wanitanya cedera di bahu kanan serta tidak sedarkan diri dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Siasatan awal mendapati suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan yang melarikan motosikal milik mangsa nombor pendaftaran VFU 814,” ujarnya.

Tambah Eng Lai, polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.

“Saksi kejadian atau mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206,” katanya.- UTUSAN ONLINE

No comments: