Monday, August 23, 2021

Kompaun serta merta RM10,000 jika peniaga tak patuh SOP, kata KPDNHEP

FMT Reporters
KPDNHEP tidak akan berkompromi dan komited bersama kerajaan memerangi 
Covid-19 menerusi peningkatan pemantauan serta pemeriksaan pematuhan SOP.

PETALING JAYA: Kompaun RM10,000 serta merta atau patuh prosedur operasi standard (SOP). Itu dua pilihan yang “ditawarkan” oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam membendung kedegilan peniaga dan pengguna mematuhi Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Shamsul Nizam Khalil berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan komited bersama kerajaan memerangi Covid-19 menerusi peningkatan pemantauan serta pemeriksaan pematuhan SOP.

“Pengenaan kompaun untuk memastikan peniaga dan pengguna serius mematuhi SOP sepenuhnya demi keselamatan serta kesihatan rakyat sepanjang negara menghadapi cabaran pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Shamsul berkata, pemeriksaan akan dijalankan mengikut Akta 342 terhadap 22 sub-sektor perdagangan dan pengedaran baharu dibenarkan beroperasi bagi negeri-negeri di Fasa 1, 2 dan 3 PPN di bawah pelaksanaan OPS SAMAR.

Katanya, setakat ini KPDNHEP sudah pun mengenakan kompaun sejumlah RM10,000 terhadap pemilik premis di sekitar Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang secara serta merta atas kesalahan premis gagal mempamerkan jumlah had maksimum pelanggan.

“KPDNHEP menggerakkan semua pegawai penguat kuasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari di seluruh negara bagi memantau pematuhan SOP PPN supaya pembukaan 22 sektor tambahan ini tidak menjadi penyumbang kepada penularan semula,” katanya.

Katanya, sejak pelaksanaan penguatkuasaan digerakkan pada 13 Mei 2020 sehingga 22 Ogos 2021, sejumlah 737,821 premis diperiksa dan sejumlah 840 kes kompaun dikeluarkan ke atas pesalah kerana tidak mematuhi SOP.

“Berdasarkan statistik tersebut, pematuhan dalam sektor perdagangan pengedaran berada di tahap yang amat memuaskan dengan 98.74% premis patuh kepada SOP ditetapkan.

“Manakala 0.08% premis sahaja yang dikenakan kompaun dan selebihnya, iaitu 1.06% premis diberi nasihat dan amaran,” katanya.

Sehubungan itu, KPDNHEP meminta semua pihak berkerjasama untuk merancakkan dan memulihkan semula ekonomi domestik dengan tidak mengabaikan pematuhan SOP PPN.

No comments: