Thursday, August 26, 2021

Kelonggaran PPN bukan maksud negara dah selamat

 Oleh Athirah Huda Zalhe

Lengkap 2 dos vaksin berjaya turunkan kadar kematian akibat COVID-19

BANGI, – Meskipun tiada lagi ‘lockdown’, namun kes harian jangkitan COVID-19 masih sekitar 20,0000 – dan hakikatnya rakyat perlu bertabah kerana kemungkinan wabak ini akan berpanjangan. 

Justeru, masyarakat perlu bersedia dengan semua amalan norma baharu dalam mendepani pandemik COVID-19 serta varian mengganas yang berada dalam komuniti.

Pastinya, kita tidak boleh menjangkakan sehingga bila negara akan sepenuhnya bebas daripada wabak dan menjalani kehidupan seperti biasa. 

Presiden Ikatan Pertubuhan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Dr Azizi Ayob berkata, masyarakat kini perlu menerima norma baharu dengan melengkapi vaksinasi dan mencegah diri daripada risiko jangkitan.

“Realiti hari ini ialah dengan melengkapkan dua dos vaksin iaitu sekurang-kurangnya 14 hari selepas dos kedua, ia berjaya menurunkan kadar kematian akibat COVID-19 dan kemasukan pesakit ke hospital dan ICU.

“Majoriti kes harian kini adalah membabitkan mereka yang belum lengkap atau tidak mengambil vaksin COVID-19, malah majoriti kes positif atau lebih 98 peratus adalah kategori 1 dan 2,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Setakat hari ini, negara kekal merekodkan jumlah kes jangkitan harian melebihi 20,000 dengan Selangor menjadi negeri tertinggi iaitu 6,325 kes.

Biarpun jumlah kes masih tinggi, kerajaan sudah mula memberikan kelonggaran untuk negeri-negeri fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), selain Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sembilan mula beralih ke fasa empat dan fasa dua.

Mengulas lanjut, Dr Azizi berkata, kelonggaran di negeri-negeri fasa satu PPN, bukan bermaksud keadaan sudah selamat, sebaliknya memberi sedikit nafas kepada sektor ekonomi melalui perniagaan kecil, runcit dan SME berjalan.

“Bagaimanapun, semua pihak wajar mengambil semua langkah pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

“Kegagalan bukan hanya terletak pada kerajaan semata-mata, tetapi apabila banyak kes ketidakpatuhan pelbagai pihak sama ada orang awam, pekerja atau majikan maka rantai penularan COVID-19 ke komuniti serta tempat kerja terus berlaku,” katanya.

No comments: