Wednesday, August 4, 2021

'Keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan September ini' - Muhyiddin

Hayati Ibrahim

   MUHYIDDIN Yassin. FOTO Bernama.

Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri akan ditentukan di Parlimen yang akan bersidang pada September ini.

Muhyiddin berkata, beliau sudah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau akan menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

"Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada September.

"Melalui cara ini, kedudukan saya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

"Alhamdulillah, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan saya ini.

"Sementara itu, Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19," katanya menerusi Perutusan Khas, hari ini.

Semalam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan keputusan itu menegaskan bahawa parti itu memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN dan Perdana Menteri selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan Umno.

No comments: