PETALING JAYA: Annuar Musa menolak tuduhan pihak tertentu kononnya kerajaan telah derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong susulan pengumuman pembatalan Ordinan-ordinan Darurat yang diumumkan Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan 26 Julai lalu.
Katanya, jika kerajaan sedia ada derhaka kepada Agong sudah tentu Muhyiddin Yassin tidak diterima menghadap baginda sehingga tiga kali dalam tempoh seminggu ini.
“Kali pertama apabila berlaku kekalutan berhubung Ordinan Darurat berikutan kenyataan menteri 26 Julai, pada 27 Julai Perdana Menteri menghadap, Tuanku terima untuk (beliau) beri penjelasan.
“(Pada) 29 Julai sebelum mesyuarat Kabinet Perdana Menteri menghadap, dan hari ini menghadap lagi.
“Seminggu tiga kali menghadap, orang yang derhaka Tuanku tidak bagi masuk dalam Istana. Yang tahu derhaka tak derhaka Agong, malah hari ini Tuanku memperkenan untuk kerajaan bawa usul percaya kepada Perdana Menteri dalam sidang Parlimen September ini,” katanya ketika sesi ruang bicara Bernama bertajuk ‘politik: Apa lagi selepas ini?
Annuar turut menyifatkan Muhyiddin sebagai individu yang sangat menjaga hubungan dengan institusi diraja, seterusnya tuduhan derhaka yang dilemparkan kepadanya tidak patut dibangkitkan.
“Kebetulan saya ada pengalaman duduk dalam Kabinet Perdana Menteri lain, dari (masa) Dr Mahathir Mohamad… dan sekarang bawah Muhyiddin.
“Dari segi perhubungan dengan Agong cukup istimewa, beliau tanpa gagal sebelum pengerusikan mesyuarat Kabinet akan menghadap. Ada Perdana Menteri tak begitu, menghadap (cuma) bila perlu, tapi Muhyiddin setiap Rabu Tuanku terima menghadap.
“Menjadi amalan Perdana Menteri memulakan setiap mesyuarat
Kabinet dengan menyampaikan titah dan pandangan Yang Di-Pertuan Agong.
Baginda banyak memberi pandangan, teguran dan ia sentiasa diterima pakai
oleh kerajaan,” katanya.
Menurutnya, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah seorang yang cukup
mengambil berat soal pentadbiran kerajaan dan setiap apa yang
dibincangkan jemaah menteri akan disemak baginda.
“Jadi di mana timbul soal derhaka? Ia dicipta oleh orang yang nak jatuhkan kerajaan,” katanya.
Khamis lalu Istana Negara memaklumkan Agong belum memperkenan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat yang diumumkan Takiyuddin di Parlimen menyebabkan Sultan Abdullah dukacita sehingga menjadi polemik apabila terdapat pihak melabel kerajaan sebagai derhaka.
Mengulas keputusan yang diumumkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin, Annuar berkata di saat semua menteri memfokuskan usaha mendepani Covid-19 langkah meninggalkan kerajaan secara terburu-buru boleh membantutkan segala perancangan.
“Rakyat tengah susah kita nak tinggal begitu. Katakan Khairy Jamaluddin sebagai menteri yang fokus soal vaksin ketika ini tiba-tiba nak keluar kerajaan, begitu juga Dr Adham Baba jaga kesihatan, Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Hishammuddin Hussein.
“Kebetulan mereka semua dari Umno, semua ada tanggungjawab, jadi kita kena fikir betul-betul yang mana perlu didahulu dan yang mana kena tunggu, tapi kerja pada rakyat harus dilakukan,” katanya
No comments:
Post a Comment