Friday, August 27, 2021

Jalan kaki hampir 200km bagi cari kerja demi belikan telefon untuk anak

Oleh Adlinahani Binti Khalil
TANGKAP layar video yang menunjukkan seorang lelaki menulis atas kertas memaklumkan dia ingin membelikan telefon untuk anaknya. - AGENSI

BANDUNG: Seorang lelaki sanggup berjalan kaki sejauh hampir 200 kilometer dari Bogor ke Bandung bagi mencari pekerjaan demi membelikan telefon bimbit untuk anak perempuannya.

Kisah lelaki itu didedahkan oleh seorang pengguna media sosial yang memuat naik videonya ketika dia tiba di kedai untuk membeli telefon.

Berdasarkan video tersebut, lelaki itu bernama Tikno dan dia membawa duit berjumlah 600,000 rupiah (RM174) untuk membeli telefon bimbit bagi memudahkan anaknya belajar secara dalam talian.

LELAKI ini dikenali sebagai Tikno

Lebih menyedihkan, lelaki itu pekak serta bisu dan hanya berkomunikasi dengan menulis atas kertas.

Lelaki itu memberitahu, duit tersebut adalah hasil dia bekerja sebagai buruh binaan di Bandung sejak sebulan yang lalu.

Terdahulu, dia cuba mencari pekerjaan di Bogor, namun nasib tidak menyebelahinya, menyebabkan dia berjalan kaki ke Bandung bagi mencari duit untuk membeli telefon bimbit anaknya.

Selepas membeli telefon untuk anaknya, lelaki itu memberitahu dia akan pulang ke rumahnya di Surabaya juga dengan berjalan kaki.

Jarak dari Bandung ke Surabaya dianggarkan sejauh 779 kilometer.

Katanya, dia sanggup berjalan kaki sejauh itu untuk menghantar telefon tersebut ke anaknya, asalkan dia dapat belajar dengan mudah.

Sementara itu, orang ramai yang prihatin dengan kisah lelaki tersebut memberinya sedikit duit untuk dibuat belanja.

No comments: