Mahkamah dapati Juliari Batubara campur tangan dalam proses tender pakej bantuan COVID-19
JAKARTA – Bekas Menteri Hal Ehwal Sosial Indonesia, Juliari Batubara dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah mengambil rasuah menerusi pakej bantuan keluarga miskin yang terjejas akibat COVID-19.
Keputusan itu dibuat Mahkamah Rasuah Jakarta, hari ini (23 Ogos).
Seorang hakim mengatakan bahawa bekas ahli politik itu terbukti bersalah setelah menerima wang sogokan sebanyak 32.4 juta rupiah (AS$2.25 juta) berkaitan dengan perolehan barang untuk pakej bantuan sosial COVID-19.
Mahkamah mendapati ahli politik itu campur tangan dalam proses tender.
Berikutan itu, selain hukuman penjara, Juliari turut didenda 500 juta rupiah dan diperintahkan untuk membayar semula 14.5 juta rupiah daripada dana yang digelapkan dan digunakan untuk perbelanjaan peribadi.
Dalam keputusan, hakim mengatakan Juliari juga akan dilarang memegang jawatan awam selama empat tahun setelah menjalani hukuman penjara.
Terdahulu, Juliari telah menafikan dakwaan tersebut.
Peguamnya Maqdir Ismail menyifatkan tempoh hukuman penjara itu, yang mana setahun lebih lama daripada yang diminta oleh penyiasat, sebagai terlalu berat dan mengatakan mereka sedang mempertimbangkan untuk membuat rayuan.
Suruhanjaya Anti Rasuah (KPK) Indonesia menamakan Juliari sebagai suspek dalam kes itu pada Disember lalu bersama empat yang lain.
Ketika itu, penyiasat antirasuah menemui wang tunai lebih dari AS$1 juta yang dimasukkan ke dalam beg pakaian dan bekas lain, sehari sebelum bekas menteri itu menyerahkan diri.
Sebelum ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo yang dipilih pada tahun 2014 berjanji untuk memerangi rasuah.
Beberapa ahli politik terkemuka telah dipenjara kerana rasuah semasa pemerintahannya, tetapi ada kebimbangan pengaruh agensi antirasuah semakin lemah.
Menurut badan pemerhati antarabangsa, Transparency International (TI), gejala rasuah yang semakin buruk menyebabkan Indonesia turun tiga mata pada indeks persepsi rasuah tahun lalu menjadi 102 dari 180 negara. – Agensi
No comments:
Post a Comment