Perlukah kita mengambil dos ketiga vaksin Covid-19 pada masa hadapan? Jawapannya, mungkin ya!
Menurut data awal yang dikeluarkan oleh pihak Pfizer-BioNTech, suntikan ketiga bukan sahaja boleh melindungi orang ramai daripada varian Delta, ia juga berkesan untuk mengelak sebarang jangkitan kelak jika wabak menjadi semakin teruk.
Malah, dalam kajian yang sama, mereka mendapati antibodi yang dihasilkan oleh badan setelah mendapat vaksin dos ketiga adalah 5 kali ganda lebih tinggi dalam kalangan orang muda.
Sementara antibodi untuk orang lebih berusia pula adalah 11 kali ganda berbanding mereka yang hanya mendapat 2 dos vaksin!
Walau bagaimanapun, ada juga pakar yang berpendapat sebaliknya.
Memandangkan masih banyak lagi negara lain yang tidak mampu untuk membekalkan dua dos vaksin kepada rakyat mereka, pemberian dos ke-3 dikatakan sebagai ‘tidak perlu’ dan ‘membazir’.
Malah, kajian yang dijalankan oleh Pfizer-BioNTech juga masih dalam fasa awal. Jadi, apakah yang perlu kita tahu mengenai pengambilan dos ketiga vaksin Covid-19?
Mari ikuti artikel ini untuk tahu lebih lanjut.
Dos ketiga vaksin Pfizer-BioNTech, perlu atau tidak?
Buat masa ini, pengambilan dos ke-3 vaksin Covid-19 masih lagi dalam perbincangan kerajaan.
Malah, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan lanjut akan dibentangkan dalam Belanjawan 2022.
Menurut CDC pula, dos ketiga vaksin amat bermanfaat kepada individu yang terimunokompromi. Mereka lebih berisiko untuk jatuh sakit dan berkemungkinan menjadi penyebar Covid-19 kepada ahli keluarga masing-masing.
Sebanyak 33% hingga 50% individu yang terimunokompromi dan tidak mempunyai tahap antibodi yang dapat dikesan berjaya memperoleh respons antibodi yang memuaskan selepas suntikan ketiga.
Buat masa ini, negara seperti Perancis telah pun bertindak memberikan dos ketiga vaksin kepada pesakit yang terimunokompromi serta penghidap kanser.
Malah, warga emas yang lebih berisiko juga mungkin memerlukan dos ke-3 vaksin Covid-19 pada masa hadapan.
Walau bagaimanapun, pemberian dos ketiga kepada populasi am masih belum diperlukan buat masa ini. Malah, CDC juga tidak menggalakkan pengambilan vaksin ketiga sehingga diluluskan oleh FDA.
Menurut Dr. Mikael Dolsten yang menerajui kajian untuk vaksin Pfizer-BioNTech, dapatan terbaharu mereka berkaitan dos ketiga vaksin Covid-19 menunjukkan keputusan yang amat memberangsangkan.
Malah, disebabkan penyebaran varian Delta yang semakin meningkat, pengambilan suntikan vaksin ketiga mungkin dapat membantu mengurangkan jumlah kes.
Varian Delta dikatakan lebih berbahaya dan mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih serius.
Namun, suntikan vaksin ketiga selepas 6 bulan vaksinasi dapat meningkatkan antibodi badan dan membantu mengelakkan jangkitan pada masa akan datang.
Tidak dinafikan, vaksin Pfizer-BioNTech amat berkesan dalam menangani penyebaran virus Covid-19 dan mengurangkan kadar hospitalisasi.
Dalam masa yang sama, ia juga telah membawa keuntungan yang tinggi kepada syarikat tersebut.
Bolehkah vaksin sekarang bertahan dengan varian Covid-19 yang berbeza?
Varian Covid-19 seperti alpha, beta, gamma dan delta merupakan sesuatu yang membimbangkan.
Manakan tidak, kesemua VOC (variant of concern) ini boleh merebak dengan lebih pantas dan menyebabkan jangkitan yang lebih serius.
Oleh sebab itu, timbullah satu persoalan baru mengenai kemampuan vaksin yang diambil sekarang.
Ramai yang tertanya-tanya, adakah vaksin mampu untuk ‘bertahan’ dengan varian Covid-19 yang sedia ada dan juga sebarang mutasi pada masa hadapan?
Jawapannya adalah ya. Mereka yang mendapat vaksinasi penuh terlindung daripada jangkitan virus Covid-19 daripada semua varian.
Mutasi virus bukanlah sesuatu yang luar biasa, ulas Dr. Inci Yildrim dalam sebuah artikel yang dimuatkan di laman sesawang Yale Medicine.
Malah, virus Covid-19 akan terus bermutasi dan berubah apabila ia merebak dan menjangkiti orang lain. Oleh sebab itu, kemunculan varian baharu merupakan sesuatu yang dijangkakan.
Menurut Dr. F. Perry Wilson pula, varian delta merupakan varian yang unik. Ia mampu menjangkiti orang lain dengan pantas dan boleh mencetuskan jangkitan berskala besar.
Namun, berdasarkan kajian yang dijalankan setakat ini, individu yang telah mendapatkan vaksinasi lengkap mempunyai perlindungan terhadap varian Delta.
Oleh sebab itu, buat masa sekarang mereka tidak perlu risau mengenai pengambilan dos ke-3.
Walau bagaimanapun, keadaan mungkin berbeza untuk individu yang tidak mengambil vaksin dan mereka yang tidak mengamalkan strategi pencegahan untuk mengelakkan jangkitan Covid-19.
Mereka yang belum lagi mendapatkan suntikan kedua juga mempunyai risiko untuk dijangkiti varian Delta.
Namun, varian ini lebih banyak memberikan kesan terhadap golongan muda berbanding varian lain.
Perlu selangkah di hadapan
Langkah yang paling efektif untuk mengelakkan jangkitan virus Delta adalah dengan mengambil vaksinasi.
Oleh sebab itu, anda amat digalakkan untuk meneruskan pengambilan vaksin dan melengkapkan suntikan sebanyak 2 dos.
Hampir kesemua kajian menunjukkan bahawa pemberian vaksin amat efektif untuk melawan Covid-19.
Bukan itu sahaja, kadar imunisasinya juga berpanjangan dan dapat mengurangkan risiko untuk mengalami simptom Covid-19 yang serius.
Pada masa hadapan, mungkin kita perlu mengambil suntikan penggalak atau booster. Namun, pemberian vaksin kali ketiga ini masih lagi berada dalam perbincangan pakar.
Untuk mengelakkan lebih banyak varian pada masa hadapan, kita perlulah selangkah di hadapan Covid-19, bukan hanya di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.
Jadi, pengambilan vaksin merupakan satu-satunya harapan kita untuk melepaskan diri daripada pandemik ini.
(*) Artikel ini telah disemak oleh panel Perubatan Hello Doctor dan telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
No comments:
Post a Comment