KHABARNYA, kepemimpinan tertinggi UMNO mula memberi tekanan kepada ahli-ahli Parlimen parti itu yang berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Mereka dikatakan diberikan tempoh 48 jam sama ada menarik sokongan kepada Kerajaan PN dan perlu meletakkan jawatan dalam Kabinet atau GLC jika tidak mahu dipecat.
Sumber mendakwa, seorang pemimpin tertinggi parti dikatakan menghubungi sendiri ahli-ahli Parlimen terlibat.
Walaupun tidak dipastikan sejauh manakah kebenaran berita tersebut namun sudah ada cakap-cakap Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dikatakan tertekan selepas keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO menarik sokongan kepada Kerajaan PN seolah-olah tidak dipedulikan oleh ahli-ahli Parlimen berkenaan.
Hanya beberapa orang sahaja ahli Parlimen yang menyokong keputusan MT, walaupun langkah itu turut disokong oleh dua pemimpin berpengaruh dalam UMNO iaitu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Pada masa sama tiga lagi anggota Barisan Nasional (BN) termasuk MCA dan MIC masih kekal dalam Kerajaan PN.
Persoalannya, adakah UMNO akan benar-benar memecat ahli-ahli Parlimen berkenaan memandangkan ia akan menyebabkan jumlah kerusi parti itu akan berkurangan secara drastik?
Selain itu adakah tindakan tersebut akan mengubah perkenan Yang di-Pertuan Agong kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya satu undi percaya dibentangkan di Dewan Rakyat pada September ini? Ia memandangkan sama ada seorang Perdana Menteri kehilangan majoriti atau tidak, ia perlu dibuktikan di Parlimen.
Jika benar ahli-ahli Parlimen mahu dipecat apakah kesalahan mereka? Kalau mereka dianggap mengingkari arahan parti atau melanggar dasar parti, bagaimana pula dengan tindakan Ahmad Zahid yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri yang beliau tidak nafikan sehingga kini?
Bagaimana pula dengan rakaman audi mirip suara beliau berbual dengan Anwar. Walaupun Ahmad Zahid menafikan sekeras-kerasnya dan menganggap ia politik jijik serta berjanji membuat laporan polis namun sampai hari ini tiada laporan polis dibuat.
Lagi pula Perhimpunan Agung UMNO sudah memutuskan bahawa parti itu akan berada dalam Kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan?
Sedangkan alasan tindakan UMNO menarik diri daripada Kerajaan PN seperti mana diumumkan Ahmad Zahid mula dipersoalkan memandangkan semalam Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan cadangan Muhyiddin berhubung soal undi percaya yang sekaligus membuktikan hubungan antara Kerajaan dan Istana adalah baik – tidak timbul soal penderhakaan.
UtusanTV telah menghubungi Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan melalui aplikasi WhatsaApp bagi mendapat pengesahan berhubung tempoh 48 jam tersebut.
No comments:
Post a Comment