Thursday, August 26, 2021

14,000 individu di Negeri Sembilan daftar dengan PICK belum divaksin


Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yakin negeri itu akan mencapai imuniti kelompok apabila 14,000 lagi individu selesai divaksin selewat-lewatnya minggu depan.

Menurutnya daripada keseluruhan 831,107 penduduk Negeri Sembilan berusia 18 tahun ke atas yang sudah mendaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), sehingga semalam, 14,000 belum menerima tarikh untuk menerima suntikan.

“Mereka yang belum divaksin itu diharap sentiasa mengemas kini aplikasi MySejahtera masing-masing. Bekalan dos kedua cukup, namun bilangan vaksin dos pertama agak sedikit.

“Kita jangkakan sebelum 31 Ogos ini kita boleh capai 80 peratus untuk vaksinasi dos kedua,” katanya pada sidang media secara dalam talian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Menurut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sehingga semalam, Negeri Sembilan mencatatkan pemberian vaksin Covid-19 sebanyak 1,338,419 dos.

Daripada jumlah itu, 740,587 adalah dos pertama manakala 597,832 adalah dos kedua. Semalam sebanyak 7,025 dos pertama diberikan sementara 8,952 lagi adalah dos kedua.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan ditutup secara berperingkat kerana negeri itu telah mencapai 90.9 peratus individu menerima suntikan dos pertama dan 73.4 peratus lagi melengkapkan suntikan vaksin masing-masing sehingga semalam.

Beliau berkata kerajaan negeri juga turut bercadang membuka PPV secara jumpa terus (walk-in) di semua daerah khas untuk penduduk negeri ini

Sementara itu beliau berkata semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin Covid-19 selain turut diwajibkan menjalani ujian calitan bagi menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri pada 3 September ini.

“Perjalanan sidang juga akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selain hanya mengambil masa yang terhad berbanding sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menasihatkan rakyat untuk terus mematuhi SOP ditetapkan dan tidak leka dalam menangani penularan Covid-19 walaupun negeri beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara berkuat kuasa esok.

Katanya, ini kerana anak-anak yang berumur 17 tahun ke bawah masih belum menerima suntikan vaksin dan terdedah kepada bahaya jangkitan wabak itu selain kewujudan varian mutasi Covid-19 seperti varian Delta yang mempunyai potensi jangkitan hingga 10 kali ganda.

No comments: