Rabu, 7 April 2021

Wira Putra kecewa Tok Pa perlekeh graduan

Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra Malaysia kecewa dengan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang didakwa memperlekehkan graduan apabila meminta golongan itu bersyukur jika mendapat peluang pekerjaan walaupun bergaji rendah.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif menjelaskan, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu telah menyinggung graduan yang terpaksa bersaing dengan golongan penganggur.

Beliau yang menyalahkan kerajaan berkata, sejak dahulu hingga kini tidak ada sebarang solusi terbaik disediakan bagi menyelesaikan masalah pekerjaan dan gaji kepada graduan.

“Kerajaan setiap hari dilihat gagal mencari solusi bagi meyakinkan rakyat bahawa ekonomi, kesihatan dan politik negara akan stabil di bawah pemerintahan mereka.

“Bahkan, kita melihat negara ini makin punah selagi pemimpin tidak kreatif dan inovatif akibat faktor umur, penyakit serta pelbagai lagi itu terus menjadi pentadbir negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bercakap di Kota Bharu pada Ahad lalu, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli dilaporkan berkata, golongan siswazah yang mempunyai pekerjaan dengan gaji rendah waktu ini perlu bersyukur.

Beliau menyatakan, ini berikutan pasaran kerja tahun lepas lemah akibat ekonomi negara yang menguncup kepada 5.6 peratus.

“Gaji tak boleh paksa, kita ada gaji minimum, itu boleh paksa (ditetapkan). RM1,200 itu gaji minimum, yang lain-lain ikut keadaan pasaran. Jadi, pasaran tahun lepas pasaran lemah,” kata Mustapa.

Menurut Nasrul Ali Hasan, pendapatan garis kemiskinan yang diumum Ketua Perangkawan sehingga hujung tahun 2020 adalah RM2,208 manakala gaji minimum yang digaris kerajaan masih RM1,200.

Nilai itu sahaja, katanya, menunjukkan jurang sebanyak RM1,000 dan bagi graduan tinggal bersendirian atau jauh ditempat tinggal keluarga bagi tujuan bekerja secara automatik akan terlingkung dalam kalangan B40 atau mudah miskin.

Ujar beliau, ramai graduan terpaksa bersaing di bandar bagi mendapatkan peluang pekerjaan terbaik.

“Namun, peningkatan perbelanjaan di bandar dilihat tidak setara dengan pendapatan yang mereka miliki. Kerajaan perlu pantas dan peka dalam keadaan pandemik yang meruncingkan tahap ekonomi dan penguncupan permintaan tenaga kerja dengan mewujudkan inisiatif peluang pekerjaan di luar bandar bagi menurunkan kadar pengangguran.

“Tindakan bijak dan afirmatif amat perlu ketika rakyat dibelenggu dilema kemiskinan dan kesukaran hidup,” katanya.

Beliau mempersoalkan adakah memang cita-cita kerajaan hari ini hendak membiarkan anak muda menjadi miskin supaya mudah ikut telunjuk mereka sahaja.

“Jika inilah niatnya elok kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini dibubarkan segera daripada terus menjadi punca beban rakyat. Jika berterusan ia akan merosak masa depan negara, malah pemimpin yang melompat dilihat seperti hilang kewarasan, hilang pertimbangan dan dilihat semakin tidak relevan.

“Usaha menjaga kebajikan rakyat diabaikan asalkan mereka selamat mempunyai kedudukan yang bagus dan bergaji besar,” kata beliau.

Beliau berkata, cukuplah pemimpin seperti itu mengkhianati mandat rakyat dan segera berhenti sebelum terlambat. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: