Selasa, 6 April 2021

Wilayah Persekutuan tidak ikut Melaka wajib peniaga daftar vaksin

Oleh AMREE AHMAD
ANNUAR MUSA

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan tidak berhasrat ‘meniru’ kerajaan Melaka mewajibkan peniaga mendaftarkan dalam program imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sebaliknya, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, dasar Wilayah Bebas Berniaga (WBB) yang diperkenalkan sejak 15 November tahun lalu masih lagi diteruskan.

“Saya fikir, kita tidak mampu perketat syarat buat masa sekarang sebab peniaga perlu diberi masa, aktiviti bisnes pun baru hendak pulih malah saya tak mahu ganggu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri taklimat pembangunan projek Glamping @ Wetland (GL@W), Presint 13 di Perbadanan Putrajaya (PPj) di sini hari ini.

Juga hadir dalam sesi berkenaan ialah Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan sendiri, Datuk Rosida Jaafar.

Kerajaan Melaka akhir bulan lalu mengarahkan kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu mewajibkan peniaga mendaftarkan diri dalam PICK sebelum diberikan lesen sah.

Ini termasuk urusan permohonan baharu dan pembaharuan semula lesen perniagaan susulan sambutan dingin rakyat negeri berkenaan terhadap fasa 2 dan 3 program vaksinasi nasional.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, setakat ini, para peniaga makanan di bawah skim WBB di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan itu hanya diwajibkan menerima suntikan vaksin anti-tifoid.

“Mereka hendaklah disuntik dalam masa terdekat lepas menerima lesen perniagaan PBT dan ini ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi elak jangkitan kuman kepada pelanggan,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengulangi jaminan bahawa pihak kementerian tersebut tidak mahu menyusahkan para peniaga kecil khasnya penjaja jalanan dengan pelbagai syarat ketat baharu.

Namun pada masa sama, beliau tidak berkompromi dalam isu kebersihan dan penjagaan kesihatan yang masih tertakluk kepada peraturan dan garis panduan sedia ada ditetapkan PBT.

Menyentuh WBB, Annuar berkata, setakat ini dianggarkan lebih 4,000 peniaga menyertai skim inisiatif Wilayah Prihatin itu dan tidak termasuk ada sekitar 1,000 lagi berniaga tanpa lesen.

“Saya tidak mahu penguat kuasa terlalu berkeras, namun lepas habis tempoh enam bulan lesen sementara itu, kita akan buat penilaian sama ada mahu niaga lagi atau tidak,” katanya.

Justeru ujarnya, bagi mereka yang masih berminat meneruskan perniagaan sebagai punca pendapatan utama, PBT terlibat akan mengenal pasti lokasi tertentu untuk pemindahan tapak. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: