PETALING JAYA: Jabatan Imigresen mengesahkan warga asing dengan pas lawatan sosial yang tamat tempoh semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) perlu meninggalkan Malaysia menjelang 21 April.
Bagaimanapun, mereka yang mengalami kesukaran untuk pulang ke negara asal kerana sekatan perjalanan dibenarkan memohon pas khas lanjutan, kata jabatan itu.
Permohonan ini perlu disokong oleh kedutaan masing-masing dengan menyertakan alamat mereka di sini dan bukti kewangan mereka.
Dalam perkembangan berasingan, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin
berkata, beliau akan mempertimbangkan, “berdasarkan kes”, permohonan
dari mereka yang terperangkap akibat PKP.
Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, warga asing yang diberi kebenaran untuk tinggal di Malaysia dengan pas lawatan sosial perlu mematuhi setiap peraturan di bawah Akta Imigresen.
“Jabatan Imigresen telah memutuskan warga asing ini perlu meninggalkan negara pada 21 April. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan diambil,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan Khairul itu mengesahkan laporan FMT semalam berhubung dakwaan warga asing beberapa negara yang diberitahu mereka diberi masa sehingga 21 April untuk meninggalkan negara ini tanpa didenda atau ditahan.
Tarikh akhir tersebut adalah berdasarkan tempoh yang dibenar Putrajaya bagi warga asing yang pas lawatan sosialnya tamat pada tahun lalu kerana mereka terperangkap oleh sekatan kawalan pergerakan.
Khairul berkata, Jabatan Imigresen telah mengesan beberapa kes pengunjung yang menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka untuk bekerja di pusat hiburan dan rumah urut serta melakukan kegiatan jenayah seperti pelacuran dan penipuan.
Tambah beliau, sepanjang 2020 dan 2021, sejumlah 1,281 orang asing dan 83 majikan telah ditahan dalam 291 operasi penguatkuasaan di pusat hiburan dan rumah urut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan