Rabu, 14 April 2021

Wanita paling ramai meninggal dunia

Oleh PETAH WAZZAN ISKANDAR

NOOR HISHAM ABDULLAH

PUTRAJAYA: Sebanyak 12 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan melibatkan warga tempatan iaitu Sabah dan Sarawak masing-masing empat kes, tiga kes di Selangor dan satu kes di Terengganu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan empat lelaki dan lapan wanita berusia antara 37 hingga 89 tahun yang mempunyai pelbagai latar belakang penyakit.

“Antara penyakit yang dikesan iaitu kencing manis, darah tinggi, dislipidemia, buah pinggang
kronik; jantung; strok, deep vein thrombosis; asma, Systemic Lupus Erythematosus dan Dementia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, sebanyak 1,767 kes baharu dicatatkan sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 1,290 kes.

Katanya, pertambahan sembilan kluster direkodkan manakala kes aktif menunjukkan peningkatan iaitu 18,300 kes berbanding semalam iaitu 15,835 kes dengan 199 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 82 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau memberitahu, Sarawak terus merekodkan kes harian baharu tertinggi iaitu 607 kes diikuti Selangor, 483 kes; Kuala Lumpur, 133 kes; Sabah, 117 kes dan Kelantan, 103 kes.

“Negeri yang merekodkan kes dua angka pula iaitu Pulau Pinang, 92 kes; Johor, 74 kes; Kedah, 39 kes; Perak, 36 kes; Negeri Sembilan, 29 kes; Melaka, 17 kes; Pahang, 14 kes dan Terengganu, 13 kes.

“Baki negeri seperti Putrajaya, tujuh kes; Labuan, tiga kes manakala Perlis, sifar kes,” katanya.

Mengulas mengenai sembilan kluster baharu, beliau berkata, ia melibatkan empat kluster tempat kerja, tiga kluster komuniti, masing-masing satu kluster keagamaan dan kluster pusat tahanan.

Empat kluster tempat kerja katanya, Kluster Jalan Puncak Borneo di Kuching, Sarawak, 61 kes; Kluster Jalan Raja Laut melibatkan Lembah Pantai, Cheras, Kepong, dan Titiwangsa, Kuala Lumpur, 20 kes serta Kluster Jalan Hishamuddin di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, sembilan
kes dan Kluster Lebuh Wawasan melibatkan Putrajaya serta Lembah Pantai, Kuala
Lumpur, dan Seremban, Negeri Sembilan, 11 kes.

“Tiga kluster komuniti pula, Kluster Tabanak di Lahad Datu, Sabah, 15 kes serta Kluster Kampung Gayang di Tuaran, Sabah, 23 kes dan Kluster Taman Malim Jaya melibatkan Melaka Tengah dan Jasin, Melaka, 13 kes.

“Bagi kluster pusat tahanan, Kluster Jalan Salleh di Muar, Johor, 23 kes manakala Kluster keagamaan, Kluster Jalan Bukit Belida di Seremban, Negeri Sembilan, 15 kes dikesan positif,” katanya.

Tambahnya, 10 kluster tamat hari ini iaitu Kluster Jalan Sekerat, Kluster Jalan Taiping, Kluster Tapak Bina Meha, Kluster Jalan Nusa Mega, Kluster Cyber 72, Kluster Jalan Industri Tiga Pontian, Kluster Taman Alam, Kluster Tapak Bina Bukit Kiara, Kluster Buloh dan Kluster Pasai. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: