Selasa, 13 April 2021

Vaksinasi tak lanjut sehingga malam ketika Ramadan

Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali berkata, dibimbangi 
sekiranya suntikan vaksin dilakukan pada waktu malam, umat Islam 
tidak datang kerana mahu menunaikan solat Tarawih.

BAGAN SERAI: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan melakukan suntikan vaksin pada waktu malam sepanjang Ramadan, kata timbalan menterinya, Noor Azmi Ghazali.

Sebaliknya, beliau berkata, suntikan vaksin dijalankan seperti biasa sehingga petang sahaja kepada mereka yang sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk menerima suntikan bagi mengelakkan ibadah di bulan suci itu terganggu.

“Saya berpendapat jika suntikan dibuat pada waktu malam, mereka tidak akan datang kerana mereka mahu melakukan ibadat Tarawih yang hanya setahun sekali.

“Bagi mereka yang tinggal di pedalaman seperti Orang Asli, kita akan hantar pegawai perubatan melalui program ‘outreach’ untuk memberikan suntikan vaksin CanSino bagi sekali suntikan saja,” kata beliau selepas Program Malaysia Prihatin dan Sumbangan Ihya Ramadan di Dewan Komuniti Bagan Serai.

Azmi, yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, sekiranya ramai yang datang pada masa ditetapkan, pihaknya boleh menyelesaikan suntikan vaksin sehingga 70 hingga 80% kepada penerima sehingga akhir tahun ini.

Mengenai kebimbangan orang ramai tentang penularan Covid-19 di bazar Ramadan, beliau berkata, apa yang penting adalah masyarakat mengamalkan penjarakan fizikal, cuci tangan dan mematuhi prosedur operasi standard SOP ditetapkan, selain tidak berhimpun beramai-ramai.

Dalam program itu, Azmi menyampaikan replika cek bernilai RM38,000 untuk diagihkan kepada 38 masjid di Parlimen Bagan Serai bagi tujuan mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan.

Tiada ulasan: