Selasa, 20 April 2021

Tiada sebab manipulasi jumlah kes positif Covid-19

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
ISMAIL Sabri Yaakob beramah mesra bersama anggota tentera darat yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Kanan Pertahanan Bersama Warga Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat di Pusasda, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.

PORT DICKSON: Tiada sebab untuk kerajaan memanipulasi jumlah harian kes positif Covid-19 yang sedang berlaku di negara ini seperti tuduhan sesetengah pihak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap kes yang dilaporkan diperoleh dari setiap Jabatan Kesihatan di negeri-negeri malah laporan penambahan bilangan pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital termasuk di unit rawatan rapi (ICU) menunjukkan jumlah tersebut adalah benar.

“Sebelum pukul 12 tengah hari setiap hari, Kementerian Kesihatan menerima laporan dari setiap negeri. Jabatan Kesihatan negeri-negeri akan buat laporan jadi tidak boleh kata Kementerian Kesihatan mahu memanipulasi jumlah, tidak boleh.

“Pengguna hospital semakin banyak maknanya ramai yang positif, penggunaan katil semakin bertambah, ICU smemakin bertambah, itu menunjukkan bahawa kes benar-benar berlaku dan tiada sebab untuk kita memanipulasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa Menteri Kanan Pertahanan Bersama Warga Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.

Seorang pemilik akaun Facebook dilaporkan mendakwa angka turun dan meningkat Covid-19 sengaja diadakan malah mendakwa petugas kesihatan turut mendakwa kes baharu itu adalah palsu.

Sementara itu, tambah Ismail Sabri lagi, peningkatan kes yang berlaku dalam gelombang kali ini turut dialami banyak negara lain malah ada negara yang telah turut mengisytiharkan darurat dan kawalan pergerakan di beberapa kawasan.

“Kalau boleh kita mahu (jumlah) kosong lebih baik, lagi senang, kita senang, kerja kita selesai, tapi kes meningkat semula. Ia tidak berlaku di Malaysia sahaja, seluruh dunia malah di beberapa buah negara Eropah sepreti Itali, Perancis, mereka juga telah buat kawalan pergerakan di negara mereka.

“Ada negara mengisytiharkan darurat di beberapa negeri seperti di Amerika Syarikat, gelombang ini berlaku di seluruh dunia, bukan kita sahaja dan kita berusaha supaya gelombang baru ini tidak meningkat dengan lebih tinggi lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: