Jumaat, 16 April 2021

Syarikat judi cetus provokasi, kekang sebelum jadi norma

ainulillia

Jangan sampai iklan pelacuran pun ada versi raya kelak

BANGI – Provokasi sensitiviti umat Islam sekali lagi menjadi mainan  pihak tidak bertanggungjawab yang bersikap gelojoh dalam mencari keuntungan semata-mata.

Terdahulu, tular klip video mengajak orang ramai meraih keuntungan berganda melalui aplikasi judi, sambil menggunakan lagu berlatar belakang sambutan Aidilfitri.

Video itu seolah-olah mengajak umat Islam berjudi melalui perkhidmatan mereka bagi mengumpul wang untuk menyambut perayaan.  

Kesal dengan perkara itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, iklan berkenaan sangat biadap dan pastinya mustahil mereka tidak mengetahui berjudi adalah haram dalam Islam. 

“Apakah mereka sangka umat Islam begitu terdesak mencari wang untuk raya sampai sanggup berjudi? 

“Saya melihat, penghasilan iklan ini jelas adalah sesuatu yang disengajakan demi publisiti murahan melalui provokasi kepada sensitiviti umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri perlu mengambil tindakan tegas terhadap syarikat ini dan siasat kesemua pihak yang terlibat dalam produksi.

“Dalam iklan ini, ada orang-orang Melayu yang menjadi pelakon. Saya rasa mungkin jabatan agama boleh menjejaki mereka dan memberi khidmat kaunseling dan nasihat. 

“Ini kerana mungkin mereka ini tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan ini adalah salah sebagai seorang Muslim,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perkara ini bukan isu membabitkan umat Islam sahaja semata-mata. 

Ini kerana, perjudian secara amnya adalah sesuatu yang amat tidak bermoral dalam mana-mana masyarakat kerana meruntuhkan institusi kekeluargaan, akhlak, peribadi dan sebagainya. 

“Maka, amatlah jelek jika masyarakat diajak berjudi untuk mencari wang untuk menyambut mana-mana perayaan sekalipun. 

“Perkara ini perlu dikekang sebelum menjadi norma pada masa hadapan. Jangan sampai iklan pelacuran pun ada versi raya pula nanti!,” katanya.

Tiada ulasan: