MACAM tak pernah jumpa pasar Ramadan.
Entah satu macam keghairahan pada tahun ini apabila pasar Ramadan dibenarkan beroperasi di seluruh negara setelah setahun ‘hilang’ dari radar.
Setakat tiga hari ini, sebahagiannya macam tak pernah jumpa murtabak, roti John, air tebu dan seumpamanya.
Namun itulah dekatnya umat Islam di Malaysia dengan pasar Ramadan, satu tradisi yang sudah menjadi gaya hidup sepanjang bulan puasa.
Bagaimanapun, kerana penularan COVID-19 masih berlaku, prosedur operasi standard (SOP) menjadi syarat utama operasi pasar Ramadan.
Tetapi awas, laporan di seluruh negara menunjukkan pematuhan SOP di pasar Ramdan kurang memuaskan dan ada lokasi yang menjadi tular kerana kesesakan pengunjung.
Baca atikel berkaitan: Tindakan tegas individu langgar SOP bazar Ramadan
Tidak terkuecuali di negeri Kedah yang disifatkan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor sebagai amat mengecewakan.
Katanya, ini berdasarkan laporan daripada penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan pematuhan SOP di bazar Ramadan di seluruh negeri Kedah.
Dalam hantaran di laman Facebook miliknya, beliau turut meluahkan rasa kesal kerana mendapati SOP tidak dipatuhi oleh sebahagian besar peniaga dan pengunjung bazar Ramadan.
“Adik, kakak, saudara, saudari yang berniaga dan yang mengunjungi bazar Ramadan di seluruh negeri Kedah, dimohon mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negeri).
“Sebarang kecuaian dan kealpaan kita terhadap SOP boleh mencetuskan kluster baharu COVID-19, seterusnya akan membawa kepada penutupan semua bazar Ramadan yang menjadi sumber rezeki saudara mara kita sepanjang Ramadan ini,” katanya.
Hari ini tular di laman sosial gambar-gambar di bazar Ramadan di beberapa negeri termasuk Kedah, yang menunjukkan pengunjung serta peniaga gagal mematuhi SOP ditetapkan.
Sehubungan itu, Muhammad Sanusi mengingatkan sekali lagi agar semua pihak yang mengunjungi bazar Ramadan termasuk para peniaga supaya memastikan setiap SOP yang ditetapkan dipatuhi bagi mengekang penularan COVID-19.
Kedah mencatatkan 26 kes positif baharu COVID-19 daripada 2,148 kes baharu harian di seluruh negara hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan