Kota Bharu: Simpati dengan nasib peniaga berikutan bazar Ramadan dibatalkan di Kelantan, seorang usahawan menawarkan pangkalan web (web base) percuma dikenali sebagai Odajer.com.
Menyasarkan peniaga makanan seramai 10,000 di seluruh negeri, sistem Odajer.com yang diasaskan Muhamad Amar Mirza Ab Kadir Jailani, 27, boleh diakses bermula hari ini sehingga akhir Ramadan.
Beliau berkata, inisiatif untuk menyediakan platform jualan dalam talian secara percuma itu tercetus berikutan pengumuman dibuat mengenai pembatalan bazar Ramadan dua hari lalu yang menyebabkan sebahagian besar peniaga bazar terkesan.
"Pangkalan web Odajer.com ini saya hasilkan sejak setahun lalu dan mengenakan bayaran sebanyak RM2,497 untuk satu akaun dan kini sudah mempunyai 200 peniaga dalam talian yang mendaftar.
"Sempena Ramadan ini, saya mengambil inisiatif menawarkan platform ini secara percuma kepada peniaga bazar tanpa menerima sebarang komisen atau bayaran, sebaliknya saya sendiri menanggung kos server mencecah RM20 juta, tapi saya ikhlas membantu," katanya ketika ditemui di premisnya di Lundang di sini, hari ini.
Muhamad Amar Mirza berkata, pada mulanya dia berhasrat untuk membuka kepada 1,000 peniaga sahaja, namun memikirkan mungkin ramai lagi terkesan, bilangan itu ditambah 10 kali ganda.
Beliau berkata, tawaran itu bukan hanya kepada peniaga yang mempunyai premis, tapi mereka yang menyediakan juadah di rumah.
Menurutnya, dengan pendaftaran ringkas, peniaga terus boleh memaparkan menu dijual, malah harga makanan serta caj penghantaran terletak di tangan peniaga itu sendiri kerana pihaknya tidak menerima sebarang komisen seperti syarikat penghantar makanan lain.
"Peniaga akan menerima kod bar yang boleh dimuat turun untuk jualan menerusi aplikasi WhatsApp atau dicetak bagi dilekatkan di mana-mana lokasi untuk kemudahan pembeli membuat imbasan.
"Selain itu, saya bersedia untuk membuat tutorial video kepada peniaga mengenai cara menggunakan pangkalan web ini serta teknik pemasaran dalam bidang digital," katanya yang juga mengusahakan perniagaan perabot dan telefon bimbit.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, keputusan untuk menawarkan platform itu secara percuma sepanjang Ramadan ini berikutan dapat merasai kepayahan peniaga terbabit dengan membayangkan situasi sama berlaku kepada bapanya yang pernah berniaga di pasar malam.
Beliau mengharapkan agar platform itu dapat meringankan sedikit beban peniaga bazar Ramadan yang terjejas terutama yang sudah mengeluarkan modal untuk persediaan berniaga di bazar Ramadan, sebelum ini.
"Saya hanya mengharapkan doa agar lebih dimurahkan rezeki dan dapat membantu lebih ramai peniaga lain khususnya yang terjejas dalam berdepan dengan pandemik Covid-19 ini," katanya yang juga lulusan Pengajian Syariah dari Yaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan