Ahad, 4 April 2021

Sebar berita palsu kematian anggota, polis Perak ambil tindakan pemilik akaun FB

Tular sejak tengah malam tadi, kononnya terdapat anggota polis dari IPD Gerik dimasukkan ke Unit Kecemasan Hospital Gerik akibat komplikasi suntikan dos kedua vaksin Covid-19.

POLIS Perak akan mengambil tindakan terhadap pemilik akaun media sosial selepas secara tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu mengenai kematian seorang anggota kontinjen itu akibat pengambilan dos kedua vaksin Covid-19.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kematian anggota polis dari Gerik, Korperal Rakmin Yusoff sebagaimana dakwa pemilik akaun Facebook (FB) bernama JUNAIDAH JUNE itu adalah tidak benar.

Menurutnya, tindakan pemilik akaun FB itu  juga mendatangkan kegusaran kepada masyarakat untuk menerima suntikan tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan kenyataan yang dikeluarkan tanpa merujuk kepada pihak bertanggungjawab terhadap kesahihan maklumat yang ditularkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu,  Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik hari ini menafikan mesej tular di media sosial kononnya terdapat anggotanya yang dimasukkan ke hospital akibat komplikasi suntikan dos kedua vaksin Covid-19.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Polis Gerik bagaimanapun memaklumkan anggota tersebut dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung.

“Berita kematian anggota polis IPD Gerik akibat komplikasi suntikan dos kedua adalah tidak benar.

“Untuk makluman, seorang anggota dimasukan ke Hospital Gerik semalam (Sabtu) akibat serangan jantung dan telah dipindahkan ke CCU (Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Taiping, anggota tersebut berada dalam keadaan stabil,” memetik kenyataan tersebut.

Tular sejak tengah malam tadi, kononnya terdapat anggota polis dari IPD Gerik dimasukkan ke Unit Kecemasan Hospital Gerik akibat komplikasi suntikan dos kedua vaksin Covid-19.

Sebarang penciptaan atau penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, pegawai polis tersebut mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Katanya, semasa penerimaan vaksin Corminaty dos pertama pada 13 Mac, pesakit tidak mengadu sebarang gejala, begitu juga selepas menerima vaksin dos kedua pada pagi 3 April jam 9 pagi, tiada bergejala selepas 30 minit pemerhatian.

“Pegawai polis tersebut mengadu sakit pada waktu tengahari dan telah diberi rawatan awal di Hospital Gerik, seterusnya dipindahkan ke Unit Rawatan Jantung Hospital Taiping. Pesakit mengalami Myocardial Infarct (sakit jantung).

“Keadaan pesakit sekarang adalah stabil. Orang ramai juga digesa supaya tidak menularkan sebarang berita yang belum sahih kerana dibimbangi menimbulkan kegusaran orang ramai,” ujarnya.

Tiada ulasan: