KUALA LUMPUR – Sampah-sarap atas jalan raya yang kemudiannya tersumbat di longkang dikenal pasti penyumbang besar kepada banjir kilat di ibu negara.
Selain itu, infrastuktur pengairan air yang lemah dan tidak mampu menampung kapasiti air hujan yang banyak akibat perubahan iklim juga memburukkan lagi keadaaan.
Pengarah Eksekutif Pelaksanaan Projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Azmi Abdul Hamid berkata, pihak berkuasa tempatan itu sedang mencari mekanisme sesuai dan terbaik bagi mengatasi banjir kilat yang semakin meruncing.
Mekanismenya memantau longkang-longkang dan menaik taraf jika ada keperluan.
“Awal minggu ini (12 dan 13 April lalu) hujan lebat dan banjir kilat berlaku di ibu negara. Contohnya, di sekitar Cheras berlaku taburan hujan yang lebih tinggi berbanding biasa sekali gus menyebabkan kawasan di sekitar Stadium Bola Sepak, Cheras dinaiki air mencecah 0.3 meter.
“Faktor pertama secara umum disebabkan infrastruktur pengaliran air kita yang tidak berupaya mampu menampung kapasiti air yang banyak dalam satu-satu masa. Jika hujan dalam keadaan biasa pada kadar 20 milimeter (mm) tiada masalah.”
“Yang kedua, hujan lebat ini akan membawa sampah sarap sedia ada di atas jalan raya, antaranya daun-daun kering atau plastik, mengakibat aliran longkang tersumbat dan menyebabkan banjir kilat yang teruk,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Setakat ini, menurutnya, terdapat sebanyak 17 kawasan panas dan berisiko banjir di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, DBKL juga mengenal pasti sebanyak 11 kawasan Parlimen dengan 171 lokasi yang kerap terjejas akibat banjir kilat.
Kawasan-kawasan itu ialah Bukit Bintang (30), Batu (25), Segambut (23), Cheras (22), Titiwangsa (18) dan Seputeh (14).
Wangsa Maju (11), Bandar Tun Razak dan Kepong masing-masing (9), Setiawangsa (7) dan Lembah Pantai (3).
Azmi berkata, satu jawatankuasa khas telahpun ditubuhkan bagi memantau ‘kawasan panas’ (kawasan banjir kilat) untuk mengenal pasti kekerapan berlakunya banjir kilat dan petugas khas akan bertindak bagi mengatasi insiden itu.
Pasukan itu, ujarnya, akan melakukan pemantauan melalui kamera litar tertutup dan aduan orang awam.
Melalui saluran-saluran maklumat ini, DBKL akan menghantar pihaknya untuk melakukan pembersihan di kawsan yang terjejas agar saliran air itu berjalan lancar.
Selasa lalu, banjir kilat dan hujan lebat berserta angin kencang telah melanda ibu negara menyebabkan pokok tumbang, tiang elektrik patah, papan tanda tercabut dan khemah peniaga bazar rosak ditiup angin kencang.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: Cheras paling banyak berlaku pokok tumbang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan