Rabu, 14 April 2021

Ramadan pertama, Adik Mohamad insafkan wakil rakyat DAP nilai kehidupan

Steven Sim Chee Keong
(Gambar Facebook Steven Sim)

Hari ini Ramadan pertama.

Saya ditemukan dengan seorang penghantar Foodpanda yang menginsafkan saya tentang nilai sebuah kehidupan.

Adik Mohamad mengayuh basikal meredah hujan dan panas demi sesuap nasi, walaupun ketika berpuasa.

Apabila saya bertanya kepadanya, mengapa dia berbasikal dan tidak menunggang motosikal seperti yang lain; dia jawab, dia tidak ada motosikal.

Basikal pun dipinjam daripada kawan, itu pun kerusi dan banyak yang dah rosak. Tapi demi mencari rezeki, dia redha.

Adik Mohamad berusia 22 tahun, merantau jauh dari Kelantan ke Pulau Pinang untuk bekerja. Keluarganya tidak kaya tapi mementingkan pendidikan. Ada 10 orang adik-beradik. Ayahnya seorang guru agama. Dia sendiri lulusan diploma kejuruteraan Politeknik, dengan keputusan cemerlang.

Tapi setakat ini gajinya hanya RM500 sebulan, nak makan pun tak cukup, sewa bilik dia tak bayar, atas ehsan kawannya. Adik Mohamad tidak merungut, malah bersyukur dengan peluang yang ada. Sebaliknya lepas kerja setiap hari, dia pinjam basikal kawan untuk jadi penghantar Foodpanda. Lepas kerja, rehat satu jam, pi kayuh sampai 11 malam. Dapat RM20-30 sehari, cukup makan beberapa kali. Ada kala, makan nasi lemak tiap-tiap hari sebab nak jimat duit.

Saya tengok kedua-dua belah tangannya pun sudah terselar dek terik matahari.

Mata masuk habuk mendengar kisah Adik Mohamad.

(Gambar Facebook Steven Sim)

Walaupun saya hormat Tun Dr Mahathir Mohamad, saya dari dulu lagi tak setuju dengan stereotaip Tun yang kata Cina kaya, Melayu malas. Ramai Cina yang bergelut demi mencari makan, ramai anak Melayu seperti Adik Mohamad yang rajin berusaha demi kehidupan.

Bila saya tanya Adik Mohamad apa pertolongan yang diperlukan, dia segan nak jawab.

Beginilah, saya tak pandai hal agama, tapi kawan-kawan ajar saya Ramadan ini banyak berkat. Saya mohon berkat Ramadan, saya belikan Adik Mohamad sebiji motor.

Asalnya Adik Mohamad macam tak percaya.

Tapi bila saya bawa ke kedai motor kat Bukit Mertajam, dia terus terharu. Kita beli Honda.

Saya bayar tunai. Kalau orang kecam saya guna peruntukan kerajaan beli motor, saya nak habaq saya tak ada peruntukan nak guna. Saya sekarang Ahli Parlimen pembangkang. Ini saya beli guna wang gaji sendiri. RM4,500 termasuk cukai jalan, insurans, langsai penuh, minyak isi penuh tangki, Adik Mohamad boleh terus bawa motor ini tak payah bimbang. Bolehlah Adik naik motor ke kerja (sekarang tumpang motor kawan) dan jika jadi “rider”, tak payah susah-susah kayuh basikal.

Usah risau lagi hujung Ramadan macam-mana nak balik Kelantan jumpa mak ayah – ‘kuda’ sudah ada.

Kami juga pergi farmasi beli krim aloe vera dan krim pelindung matahari. Saya peringat Adik Mohamad agar wajib sapu krim setiap kali sebelum keluar buat Foodpanda. Kita perlu jaga kesihatan diri. Kalau jatuh sakit, mak ayah juga yang akan bimbang.

(Gambar Facebook Steven Sim)

Hari ini Ramadan pertama, saya belajar satu benda yang penting. Kita perlu banyak-banyak bersabar dalam menempuh cabaran hidup. Jangan putus asa walau susah macam mana sekalipun, dongipap kipidap! Setiap perkara ada hikmahnya, Tuhan tidak pernah mengabaikan kita. Adik Mohamad telah menginsafkan saya tentang perkara ini.

Iftar pertama tahun ini, saya buka puasa bersama Adik Mohamad. Walaupun berjauhan dari keluarga dan terpaksa bekerja keras mencari rezeki, saya doakan Ramadan ini akan menjadi Ramadan yang lebih bermakna buat dirinya. FMT

Tiada ulasan: