Jumaat, 16 April 2021

Portal ‘Chakrir Khoj’ dorong kemasukan PATI

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
M. SARAVANAN

PUTRAJAYA: Tindakan pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh melancarkan portal pekerjaan ‘Chakrir Khoj’ boleh mendorong kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh ke negara ini berikutan tertarik dengan peluang yang dijanjikan portal tersebut.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ini secara tidak langsung boleh menjurus kepada eksploitasi pekerja-pekerja PATI yang boleh memberikan imej negatif kepada negara.

“Saya amat terkejut dengan tindakan pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh yang telah melancarkan portal pekerjaan ini tanpa sebarang rundingan atau pemakluman rasmi kepada kementerian.

“Adalah tidak wajar untuk melancarkan portal pekerjaan kerana ia bukan peranan yang sepatutnya dilaksanakan oleh perwakilan diplomatik asing di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Saravanan berkata, kementerian memandang serius tindakan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh kerana perkara itu boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat khususnya pihak majikan.

Katanya, di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246), pengambilan pekerja asing di negara ini hanya boleh dikendalikan oleh agensi pekerjaan swasta berlesen dengan pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Program Rekalibrasi PATI Tenaga Kerja dikendalikan sepenuhnya oleh agensi kerajaan dan majikan-majikan yang memerlukan tenaga kerja tanpa penglibatan vendor atau pihak ketiga.

“Sektor pekerjaan yang terlibat pula hanya merangkumi sektor pembuatan, pembinaan, perladangan dan pertanian,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, adalah tidak wajar bagi Suruhanjaya Tinggi Bangladesh berbuat demikian kerana bercanggah dengan hasrat kerajaan mengenai perancangan keperluan guna tenaga pekerja warga asing di negara ini.

Tambahnya, portal ‘Chakrir Khoj’ juga akan menjejaskan peluang dan usaha lebih 400 agensi pekerjaan swasta (APS) kategori C yang berdaftar dengan kementerian untuk membawa masuk pekerja asing.

Ini kerana jelas beliau, agensi itu telah hampir setahun tidak menjalankan perniagaan tetapi perlu membayar fi yang tinggi untuk kekal sebagai ejen.

“Kementerian dalam mesyuarat Kabinet juga telah diminta untuk mengemukakan keperluan sebenar pekerja warga asing di semua sektor pekerjaan mengambil kira pandemik Covid-19 yang melanda negara,” katanya.

Saravanan berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan majikan dalam sektor-sektor yang terjejas seperti pembinaan, perladangan dan pertanian untuk membuat iklan di portal pekerjaan nasional, MyFutureJobs bagi mengisi kekosongan supaya tiada pekerja tempatan dipinggirkan.

“Walaupun saya sedar akan keperluan semasa pekerja asing dalam bidang-bidang yang tidak diminati oleh warga tempatan, saya masih mengambil langkah-langkah sewajarnya dalam memastikan peluang pekerjaan sedia ada harus diberikan keutamaan kepada mereka,” katanya.

Tiada ulasan: