Polis Kelantan menafikan dakwaan akan melaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan berikutan satu penularan rakaman audio di media sosial beberapa hari lalu.
Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat berkata dakwaan yang ditularkan tersebut adalah tidak benar dan menasihatkan orang ramai merujuk sumber yang sahih.
“Polis Kelantan menasihatkan orang ramai untuk merujuk laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Kelantan bagi mendapatkan sumber maklumat terkini keadaan dan arahan semasa dalam membendung penularan Covid-19 di negeri Kelantan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Terdahulu, tular satu klip audio suara seorang lelaki berdurasi 3 minit 18 saat menerusi aplikasi WhatApps yang mengatakan bahawa PKP akan dilaksanakan di Kelantan bermula 14 hingga 21 April ini.
Sementara itu, Shafien menegaskan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membuat dan menyebarkan berita palsu kepda orang ramai sehingga mencetus kebimbangan.
Tambahnya lagi, tindakan tegas akan diambil sekiranya dibukti bersalah mengikut Peruntukan Undang-Undang Dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Oleh yang demikian, polis Kelantan ingin menegaskan kepada orang ramai untuk tidak menularkan dan menyebarkan sebarang berita tidak benar tanpa merujuk kesahihan kepada pihak yang bertanggungjawab.
“Tindakan tegas boleh diambil jika terdapat perlakuan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan