Sabtu, 10 April 2021

Polis buka kertas siasatan berhubung murid Tahun Satu ditampar guru di Kulai

Menurut ibu mangsa, guru itu mengakui menampar kanak-kanak itu kerana 
hilang sabar, sehingga menyebabkan kecederaan di bibir. (Gambar Facebook)

JOHOR BAHRU: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang murid Tahun Satu mengalami kecederaan di bahagian mulut dipercayai akibat ditampar seorang guru lelaki di sebuah sekolah agama di Kulai, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kulai Tok Beng Yeow berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, sekiranya sabit kesalahan.

“Kertas siasatan berkenaan bertujuan mendapatkan punca kejadian dan polis kini sedang giat mengesan saksi-saksi bebas selain akan berhubung dengan Pejabat Pendidikan Daerah Kulai serta Jabatan Pendidikan Negeri Johor bagi mendapatkan maklumat terperinci,” kata beliau dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, berdasarkan ringkasan kejadian, pada 4 petang semalam, seorang pegawai kanan polis di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai telah menerima satu maklumat daripada laman media sosial berkaitan kes berkenaan.

Kata beliau, semakan awal pihak polis mendapati tiada sebarang laporan polis diterima, maka satu laporan polis telah dibuat pihak polis sebagai maklumat pertama untuk siasatan lanjut.

Tok berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat kejadian tersebut diminta berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Izanzaki, di talian 014-5296880.

Semalam media melaporkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun mengalami kecederaan di mana bibirnya bengkak dan berdarah akibat ditampar gurunya.

Menurut ibu mangsa, guru itu mengakui bertindak sedemikian kerana hilang sabar dengan anak lelakinya yang menangis tanpa henti.

Kes tersebut mendapat perhatian di media sosial apabila gambar-gambar kecederaan kanak-kanak tersebut mula tular.

Tiada ulasan: