Sabtu, 10 April 2021

Pokok keluarkan 300 buah mangga berbeza

 Oleh KOSMO!

Pokok mangga dengan 300 jenis mangga berbeza itu merupakan pencapaian terbaik Kalimullah. – BCCL

NEW DELHI – Seorang petani di India ‘menghasilkan’ pokok mangga­ yang mengeluarkan 300 jenis buah mangga berbeza, lapor portal berita Oddity ­Central kelmarin.

Kalimullah Khan yang mahir dalam kacukan tampang termasuk kaedah tut, menggunakan teknik itu pada sebatang pokok mangga sehingga mampu mengeluarkan pelbagai jenis buah ­mangga termasuk Suvarnekha, Tommy Atkins dan Husn-e-Ara.

Kalimullah berhenti sekolah semasa berumur 15 tahun semata-­mata untuk menanam mangga.

Ketika itu, kebanyakan petani di bandar Malihabad, utara India hanya menanam dua jenis ­mangga yang berbeza jenisnya.

Namun, selepas melihat tanaman bunga ros yang menghasilkan bunga berwarna-warni di rumah seorang rakan, Kalimullah belajar teknik kacukan dan mengaplikasikan kaedah tersebut pada tanaman buah-buahan.

Ia merupakan permulaan kepada kerjaya Kalimullah yang turut menyaksikan dia dinobatkan sebagai ahli hortikultur tersohor di India. Kalimullah juga mendapat gelaran ‘Lelaki Mangga’.

Projek pokok mangga dengan 300 buah berbeza itu merupakan kejayaan terbesar Kalimullah.

Dia menggunakan kaedah kacukan tersebut pada sebatang pokok mangga berusia 100 tahun pada 1987. Pokok mangga berusia 100 tahun yang dinamakan Al-Muquaraar itu menjadi kebanggan ahli-ahli hortikultur. Dengan menggunakan teknik cantuman tersebut, Kalimullah berjaya mengubah sebatang pokok menjadi dusun mangga.

Pokok unik itu berada dalam senarai rekod tempatan, Limca Book of Records, namun wakil Presiden Persatuan Penanam Mangga India, D.K. Sharma mengkritik pokok mangga Kalimullah.

Menurutnya, pokok itu hanya bersifat ‘kosmetik’ serta tiada nilai komersial. – Agensi

Tiada ulasan: