Sabtu, 24 April 2021

Penyokong penderhaka pelukis grafik berkumpul depan balai

AGENDA DAILY

Poster sokongan terhadap pelukis grafik, Fahmi Reza.

Selepas ditangkap polis malam tadi, ‘penderhaka’ yang dilaporkan menghina Raja Permaisuri Agong ‘memanggil’ pula rakan-rakannya berkumpul di depan balai polis untuk meraih simpati masyarakat.

Berdasarkan poster yang dimuat naik sejak malam tadi, penyokong-penyokong ‘penderhaka’ yang menghina Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, merancang berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibu negara, pagi ini.

Bagaimanapun, lewat malam tadi terdapat sekumpulan aktivis dan rakan-rakan Fahmi sudah berhimpun di depan balai polis dengan menyalakan lilin dan menaikkan sepanduk sebagai tanda sokongan terhadap pelukis grafik tersebut.

Tidak pasti kumpulan mana yang merancang perhimpunan itu, namun Agenda Daily percaya mereka terdiri daripada puak-puak yang sealiran dengan pelukis grafik, Fahmi Reza yang ditangkap itu.

Pada masa sama, tular pula poster yang diedit daripada gambar asal yang menunjukkan Fahmi menangis kerana ditangkap dan bermalam di lokap polis.

Apapun, itulah habuan bagi mereka yang menganggap boleh berbuat sesuka hati. Ada otak tapi tidak digunakan untuk berfikir. Binatang juga mempunyai otak tetapi tidak dapat berfikir.

Penyokong pelukis grafik, Fahmi Reza di depan balai.

Demikian juga apa yang berlaku kepada Fahmi yang ditangkap di rumahnya kira-kira jam 7 malam tadi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan Fahmi disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang turut membuat laporan polis terhadap Fahmi menempelak pelukis grafik itu sambil memberi ucapan ‘selamat memberi keterangan’.

Beliau juga menasihatkan Fahmi supaya berpegang teguh dengan pendirian sebagaimana Karl Marx yang mempertahankan Das Capitalnya, atau seperti Mao Tse Tung yang memimpin Parti Komunis China.

Tiada ulasan: