Isnin, 19 April 2021

Pembabitan pelajar dalam jenayah indeks tertinggi di Johor, kata Ayob

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata bagi statistik pelajar 
menjadi mangsa perlakuan jenayah menunjukkan 58% mangsa adalah terdiri 
daripada pelajar perempuan, manakala 42% pelajar lelaki. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Pembabitan pelajar sekolah di Johor yang melakukan kesalahan jenayah indeks adalah paling tinggi berbanding jenayah bukan indeks dan narkotik, kata Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Katanya, kesalahan paling tinggi adalah membabitkan kes curi kenderaan, diikuti mencederakan orang, pecah rumah, rogol dan samun.

“Dapatan kajian menunjukkan statistik tangkapan membabitkan pelajar sekolah di Johor bagi kesalahan jenayah indeks tahun 2019 adalah seramai 1,230, tahun 2020 seramai 601 dan tahun ini bagi tempoh Januari hingga Mac seramai 77 orang,” katanya dalam program mekar: modul kesedaran jenayah kanak-kanak dan remaja Johor di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ayob berkata, bagi statistik pelajar menjadi mangsa perlakuan jenayah menunjukkan 58% mangsa adalah terdiri daripada pelajar perempuan, manakala 42% pelajar lelaki.

Bilangan mangsa paling tinggi adalah kes rogol, diikuti kes mencederakan orang, curi kenderaan dan lain-lain curi, dengan hampir 99% pelaku jenayah dan mangsa dalam kalangan pelajar sekolah berusia lingkungan umur 13 hingga 18 tahun iaitu pelajar di peringkat sekolah menengah.

“Pelajar lelaki mendominasi pelaku jenayah dalam kalangan pelajar iaitu sebanyak 95%, berbanding pelajar perempuan yang hanya 5% sahaja,” katanya.

Ayob berkata, bagi jenayah bukan indeks mencatatkan pelajar yang menjadi mangsa jenayah juga terdiri daripada remaja berumur 13 hingga 18 tahun melibatkan kes seperti Akta Kesalahan Seksual, orang hilang dan cabul.

Katanya, sehingga Mac lalu sebanyak 30 tangkapan sudah dibuat ke atas remaja berkenaan atas pelbagai kesalahan.

“Bagi statistik melibatkan kes narkotik, penglibatan pelajar sebagai pelaku jenayah pada 2019 adalah seramai 43 orang, tahun 2020 seramai 36 dan tahun ini bagi tempoh Januari hingga Mac seramai empat orang.

“Antara kesalahan jenayah narkotik melibatkan pelajar adalah kesalahan memiliki dadah, memasukkan dadah ke dalam tubuh badan dan penyalahgunaan alkaloid ketum di mana ia hanya melibatkan pelajar di peringkat sekolah menengah sahaja,” katanya.

Tiada ulasan: