Rabu, 21 April 2021

Nash terbabit kemalangan di lebuh raya

 Oleh NOR AINNA HAMZAH

KEADAAN Nash dan kenderaannya sewaktu kemalangan.

SEREMBAN – Penyanyi Datuk Nash dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) selepas terbabit dalam kemalangan di kilometer 250.8 (arah Utara), Lebuh raya Utara-Selatan, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa atau nama sebenarnya Nashrudin Elias, 62, mengalami kecederaan di bahagian muka dan mengadu sakit di dada.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim, kenderaan yang dinaiki mangsa jenis Toyota Harrier dipercayai terbabas sendiri dan tidak membabitkan kenderaan lain.

“Mangsa dalam perjalanan dari arah Johor menuju ke Kuala Lumpur bersama pemandunya.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dinaiki mangsa telah melanggar lopak air menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas melanggar tembok penghadang jalan di sebelah kiri lebuhraya,” katanya ketika dihubungi, di sini, tadi.

Mohd. Said berkata, akibat kemalangan, mangsa mengalami kecederaan luka di muka dan sakit dada, manakala pemandunya yang merupakan seorang lelaki berumur 33 tahun pula mengalami kecederaan luka-luka ringan.

Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – K! ONLINE

Tiada ulasan: