Rabu, 14 April 2021

Lebih 70 tan daging kerbau sejuk beku India disita

 Oleh KHUZAIRI ISMAIL

SEBANYAK 70 tan daging kerbau sejuk beku dari India dirampas Maqis Pulau Pinang di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) semalam kerana melanggar syarat permit import sah.

BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri menyita 70,650 kilogram (kg) daging kerbau sejuk beku dari India di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini semalam. 

Pengarah Maqis negeri, Noriah Dahlan berkata, produk dimuatkan di dalam empat buah kontena itu dirampas semasa pemeriksaan rutin agensi berkenaan  pukul 2.20 petang. 

Menurut beliau, produk itu didapati tidak mematuhi syarat permit import Maqis iaitu gagal mempamerkan maklumat dikehendaki pada syarat permit import diluluskan. 

“Justeru, daging kerbau sejuk beku bernilai RM614,605.25 disita bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Noriah berkata, kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan pada permit import adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011. – UTUSAN

Tiada ulasan: