Isnin, 5 April 2021

Lari dari polis, suspek maut kereta rempuh pokok

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
KERETA Proton Waja yang dipandu suspek merempuh dua batang pokok di Bukit Lintang, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA: Seorang lelaki maut kerana cuba melarikan diri daripada sepasukan lima kereta peronda polis (MPV) yang mengejarnya sejauh 25 kilometer di Bukit Lintang di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, suspek berusia 51 tahun menemukan ajal selepas kereta jenis Proton Waja dipandunya hilang kawalan lalu terbabas merempuh dua batang pokok di lokasi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sebelum kejadian, dua anggota yang menaiki sebuah MPV mengesan suspek memandu dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 3.30 pagi.

Beliau berkata, pasukan polis itu kemudian mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan, namun lelaki tersebut terus memecut di sepanjang Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Tanjung Minyak.

“Suspek didapati memandu dalam keadaan berbahaya, malah melanggar setiap lampu isyarat merah sehingga pasukan MPV terpaksa meminta bantuan empat pasukan lain dengan jumlah anggota terlibat seramai lapan orang.

“Polis turut memberikan amaran menggunakan siren dan pembesar suara memintanya berhenti, namun gagal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya, suspek terus memecut kereta menuju ke arah Muar dengan diekori MPV polis pada jarak kira-kira 200 meter.

“Selepas melarikan diri sejauh 25 kilometer, kenderaan suspek tiba-tiba hilang kawalan menyebabkannya terbabas sehingga melanggar dua batang pokok di tepi jalan di Lebuh AMJ Kandang-Bukit Lintang.

“Akibat rempuhan itu, pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, pihaknya percaya suspek melarikan diri susulan membawa barang atau baru melakukan kegiatan jenayah membabitkan samun.

“Hasil semakan lanjut, suspek sebelum ini mempunyai dua rekod jenayah membabitkan samun dan pernah dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sebanyak lima kali.

“Suspek bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah membabitkan dadah dan bukan orang dikehendaki,” jelasnya.

Ujarnya, pemeriksaan pada kenderaan suspek tidak menjumpai apa-apa barang kes, namun sisasatan diteruskan menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) bagi mengesan sekiranya terdapat barang dibuang keluar dari kenderaan oleh suspek di sepanjang lokasi kejadian.

Mayat suspek dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: