Jumaat, 23 April 2021

KPDNHEP, agensi berkaitan harus proaktif tangani isu harga barang

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berganding bahu bersama agensi berkaitan untuk mengambil langkah proaktif menangani isu kenaikan harga barang.

Perdana Menteri juga mahu pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dilaksanakan.

Katanya, kerajaan perlu memastikan aktiviti tidak beretika yang menekan dan membebankan pengguna dapat dibanteras secara lebih menyeluruh serta berkesan, manakala rakyat juga digalak berperanan aktif menyalurkan maklumat kepada pihak kerajaan.

"Kerajaan menyedari tindakan sebilangan pemborong atau peniaga yang mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan keperluan pada musim tertentu.

"Sejak akhir-akhir ini, kita sering mendengar banyak keluhan rakyat mengenai dakwaan kenaikan harga barangan keperluan utama apabila datangnya Ramadan dan kelak apabila menjelangnya musim perayaan.

"Kenaikan harga barang sudah tentunya membebankan pengguna, terutama golongan berpendapatan rendah, peniaga dan penjaja kecil," ketika menyampaikan Amanat Perdana Menteri sempena Lawatan ke KPDNHEP dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Muhyiddin berkata, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bermula 21 April lalu antara langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

Tiada ulasan: