Meski pun Perang Sungai Manik sering dikaitkan dengan suku Banjar namun terdapat banyak suku lain terlibat dalam konflik tersebut. Bahkan ada antara mereka yang terkorban itu terdiri daripada suku lain.
Di kampung yang mempunyai penduduk pelbagai suku seperti Degong, Tukang Sidin, Chikus dan Sungai Lampam, suku-suku selain Banjar terlibat dalam perang tersebut, malah ada antara mereka memimpin pasukan sabil.
Di Sungai Lampam, Abdul Karim Haji Sidek dan Pangat Chakradepa antara individu yang terlibat dalam perang tersebut. Pangat tinggal berhampiran surau di hujung Parit 15A Sungai Manik. Surau itu diimarahkan oleh suku Jawa Pegalin dan Banjar. Pangat adalah imam surau tersebut.
Nama-nama seperti itu sudah tidak digunakan lagi sekarang. Namun dalam proses penulisan sejarah atau pensejarahan, nama sangat penting. Melalui nama-nama tersebutlah kita boleh mengesan asal-usul atau suku mereka.
Pangat adalah lelaki keturunan Jawa Pagelin iaitu salah satu suku Jawa yang membentuk majoriti masyarakat di Sungai Lampam.
Kebanyakan Jawa Pagelin Sungai Lampam tinggal di Parit 15A hujung hingga Parit 19A, manakala masyarakat Jawa Ponogoro di Parit 13A dan Parit 15A.
Menurut anak Pangat, Asmuni, bapanya terlibat dalam Perang Sungai Manik bersama rakan-rakannya. Asmuni yang juga seorang ustaz adalah wakil calon semasa saya bertanding di DUN Sungai Manik pada PRU 1999.
Sebelum itu, dia pernah menjadi ketua kampung dan bertugas sebagai guru dakwah Orang Asli.
Antara kawan rapat Pangat ialah Haji Abdul Manan dan Wak Kalimah. Ketika itu mereka tinggal di Parit 15A Sungai Lampam. Namun tidak dipastikan sama ada kedua-dua nama berkenaan terbabit atau tidak dalam perang.
Pastikan keselamatan penduduk
Tiada bukti atau sumber lisan yang boleh dipertanggungjawabkan. Sekadar hidup pada zaman tersebut bukan pembuktian yang boleh dijadikan asas dalam pensejarahan.
Di Degong pula, Wak Sardi Marto adalah seorang anggota tentera sabil yang mempunyai kemahiran menyelam menggunakan buluh sebagai saluran pernafasan.
Dia adalah antara sebilangan kecil orang Jawa yang tinggal di Degong. Di Degong sebahagian besar penduduknya ialah orang Perak yang berasal dari Pasir Salak dan kampung lain di sepanjang Sungai Perak.
Degong adalah pintu masuk ke perkampungan orang Melayu di Sungai Manik dengan kebanyakan mereka mengusahakan tanaman padi. Ketika awal pembukaan kawasan sawah, terdapat juga komuniti kaum Tionghua yang tinggal dalam kejiranan Melayu.
Kebanyakan mereka berniaga dan membantu memasarkan hasil-hasil pertanian petani Melayu.
Di Sungai Lampam, semasa perang berlangsung Kiyai Haji Mansor Taib bersama penduduk tempatan berkawal bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
Sepanjang waktu perang itu, tiada pertempuran dilaporkan berlaku di situ. Ada kemungkinan kerana Sungai Lampam merupakan tempat tinggal Rashid Maidin dan tempat dia membentuk pasukannya. Namun tiada maklumat lanjut ditemui untuk mengukuhkan kemungkinan tersebut.
Meskipun Perang Sungai Manik berlaku dalam tempoh dua minggu saja namun keadaan kampung masih tidak aman apabila ia berakhir. Ancaman daripada Bintang Tiga masih wujud beberapa tahun selepas itu.
Pada 1953, pasukan Home Guard Degong - yang diketuai Nawi Buyong - diserang dalam pertempuran dengan komunis di Degong Dalam. Serangan itu mengakibatkan lima anggota Home Guard terkorban.
Muhamad Nawi turut terkorban bersama Saad serta lelaki India yang tinggal di kampung berkenaan, dikenali sebagai Nadishan. Mangsa pertempuan yang beragama Islam dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Labu, Degong.
Hilang semasa perang
Ekoran kejadian tersebut penduduk Degong Dalam berpindah ke lokasi lain iaitu petempatan Degong yang ada sekarang. Mereka berhijrah untuk mengelak daripada menjadi mangsa serangan komunis.
Pada masa sama sekatan dan kawalan pihak berkuasa selepas itu menyebabkan Bintang Tiga mengundurkan petempatan mereka di kawasan Hilir Perak ke bahagian tengah Semenanjung Malaysia.
Kebanyakan mereka dikhabarkan merentasi Banjaran Titiwangsa dan menjadikan Raub sebagai salah sebuah pangkalan baru.
Mantan tok sidang Degong 2005 - 2018, Aziz Muhamad, berkata bapanya adalah salah seorang korban pertempuran dengan Bintang Tiga di Degong Dalam.
Turut bersama saya sewaktu temu bual itu ialah Kamaruzaman Zainudin, bekas ketua kampung Degong zaman Pakatan Harapan serta beberapa penduduk lain yang banyak membantu kajian saya.
Dari suku Mandailing di Sungai Lampam, Tarukul Haji Hasan - seorang guru silat yang tinggal di Parit 17B - adalah antara anggota tentera sabil. Selain itu Ahmad Perang Harahap, Salleh Ahmad dan Jabar Baran juga terlibat dalam perang tersebut.
Ahmad Perang hilang semasa zaman perang Sungai Manik. Tidak diketahui sama ada dia memang meninggal dunia atau menghilangkan diri. Keberadaannya kekal misteri sehingga kini. Hatta ahli keluarganya sendiri tidak mengetahui maklumat sebenar.
Nama asalnya ialah Perang, tetapi apabila namanya didaftarkan dalam kad pengenalan, nama yang digunakan ialah Ahmad. Barangkali dia dilahirkan sewaktu Sumatera berperang dengan Belanda.
Ironinya, Ahmad Perang hilang semasa perang!
Dia tinggal di Parit 18B Sungai Lampam. Merantau dari Sumatera Ahmad Perang kemudian berkahwin dengan orang tempatan. Dia terlibat dengan pasukan sabil yang berpusat di Headwork Kunci Air 12.
Semasa pertempuran di Redang Punggur dia turut terlibat. Cuma tidak dipastikan sama ada dia berada dalam satu pasukan dengan Pak Salleh Kudong atau tidak.
Selepas kehilangan Ahmad Perang, tinggallah anak dan isterinya tanpa khabar berita. Mereka mengerjakan sawah bendang yang ada dengan segala kepayahan.
Begitulah - biasanya mangsa sebenar sesebuah perang ialah mereka yang ditinggalkan, yang biasanya hidup tanpa pembelaan, perhatian dan penghargaan. Peperangan hanya mewariskan kebencian dan dendam yang tidak kunjung padam.
Peperangan memang mempunyai etika yang sepatutnya perlu dipatuhi semua pihak. Antaranya menyediakan senarai tawanan dan mangsa yang terbunuh. Tawanan perang pula mempunyai hak yang dilindungi oleh undang-undang antarabangsa.
Namun hakikatnya ia tidak selalu begitu. Tidak banyak pihak yang mahu berpegang kepada peraturan. Justeru peperangan adalah aksi yang mahu memuaskan sarakah, kebencian dan kejahilan. Begitu juga Perang Sungai Manik.
(*) MUHAIMIN SULAM ialah penulis dan penyelidik Melaka5Minit iaitu sebuah rancangan pendokumentasian khazanah serta warisan sejarah Nusantara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan