Selasa, 13 April 2021

Kenderaan masuk ke Kelantan meningkat sejak semalam

 Oleh AIMUNI TUAN LAH

Choon Foo melihat surat rentas negeri yang dikemukakan oleh pengguna jalan raya di sekatan jalan raya di Kampung Tanah Putih, Gua Musang hari ini. - Foto oleh AIMUNI TUAN LAH

Kenderaan masuk ke Kelantan meningkat sejak semalam

GUA MUSANG – Jumlah kenderaan yang merentas negeri melalui sempadan negeri Pahang ke Kelantan di Jalan Kuala Lipis-Gua Musang berlaku peningkatan berbanding biasa sejak semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pertambahan itu dipercayai berkait rapat dengan sambutan bulan Ramadan, namun jumlah peningkatan kenderaan tidak terlalu ketara.

Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan yang melalui jalan Kuala Lipis, Pahang ke Gua Musang itu mempunyai surat kebenaran yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di tempat masing-masing.

“Pihak polis tidak akan bertolak-ansur sekiranya didapati pemandu atau penumpang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Aliran trafik dan pengawasan oleh anggota bertugas di jalan berkenaan juga lancar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Tanah Putih di sini hari ini.

Choon Foo berkata, selain SJR Tanah Putih, IPD Gua Musang turut mengadakan SJR di Jalan Gua Musang-Lojing di Kampung Kundur di sini.

Katanya, pengguna jalan raya dinasihatkan agar terus mengemukakan surat kebenaran rentas negeri yang sah bagi mengelak mereka dikenakan kompaun. – K! ONLINE

Tiada ulasan: