Sabtu, 10 April 2021

Kembalikan Tourism Malaysia bawah MITI untuk pulihkan sektor pelancongan, kata persatuan

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) berkata 
cadangan untuk mengembalikan agensi Tourism Malaysia di bawah 
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) adalah untuk 
memulihkan segera sektor pelancongan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) mencadangkan supaya agensi Tourism Malaysia kembali diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memulihkan segera sektor pelancongan yang terkesan teruk akibat Covid-19.

Pengerusinya, Razali Mohd Sham berkata, tindakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang berdolak-dalik mengenai kebenaran membuka sempadan bagi aktiviti umrah ketika wabak Covid-19 melanda menunjukkan sikap “talam dua muka” kementerian itu yang tiada usaha membangunkan industri ketiga terbesar negara itu.

“MOTAC kita lihat macam membantu tetapi sebenarnya tidak membantu (industri pelancongan),” kata beliau kepada FMT.

“Contohnya, sebelum ini kita minta kerajaan percepatkan pembukaan semula pintu sempadan supaya isu tuntutan bayaran pakej umrah dibuat sebelum Covid-19 dapat diselesaikan. Dengan PAPUH, MOTAC kata setuju tetapi dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), mereka kata tak setuju.”

Beliau juga mendakwa, kementerian yang diketuai Nancy Shukri itu terlalu banyak kepincangan dan tidak ditadbir urus dengan baik.

“Saya lihat MOTAC ketika ini tidak pandai ‘mencipta pendapatan’ kerana hanya dihuni oleh PTD (pegawai tadbir diplomatik) yang tidak mempunyai kepakaran.

“Jika dulu bawah MITI, Tourism Malaysia aktif mencipta peluang. Lebih baik sekiranya badan ini duduk bawah MITI kerana pegawainya lebih kreatif dan bijak mencari peluang,” kata beliau.

Tourism Malaysia, yang diasaskan pada 10 Ogos 1972, sebelum ini dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Pelancong Malaysia dan diletakkan bawah MITI, kemudian dipindahkan bawah MOTAC pada Ogos 1986.

Razali, ketika mengulas mengenai kesediaan agensi umrah dan haji negara ini selepas kerajaan Arab Saudi menyatakan ia sedia menerima jemaah umrah yang sudah divaksinasi sempena Ramadan, berkata agensi pelancongan umrah dan haji bawah persatuan itu sudah pun menerima kelulusan daripada MKN untuk membawa jemaah umrah.

Bagaimanapun, pihaknya menjangkakan penerbangan paling awal hanya dapat dilaksanakan pada Syawal, kata beliau.

“Pas pelancongan sudah pun kita terima pada 17 Mac tetapi kita jangkakan penerbangan paling awal pada Syawal kerana banyak lagi perkara teknikal yang perlu diselesaikan ketika ini,” kata beliau.

Tiada ulasan: