PETALING JAYA: Cara Malaysia mengukur kemiskinan perlu diubah dengan mengambil kira kemiskinan bandar dan memastikan golongan itu tidak diabaikan daripada bantuan serta pakej rangsangan.
Pada 2019, Jabatan Perangkaan menyemak semula had pendapatan garis kemiskinan (PGK) daripada RM980 kepada RM2,208, untuk mengambil kira makanan dan keperluan asas mencukupi, bukannya menetapkan had berdasarkan keperluan minimum untuk kelangsungan hidup.
Malaysia turut memperkenalkan Indeks Kemiskinan pelbagai Dimensi (MPI) dalam Rancangan Malaysia ke-11, yang mengambil kira aspek kekurangan wang dan bukan wang, seperti pendidikan substandard, kesihatan tidak baik dan keadaan hidup serba kekurangan.
Bercakap pada webinar anjuran Bait Al-Amanah dan Pusat Pendidikan Pasaran, Fatimah Kari dari Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya, berkata kaedah ini dalam bentuk sekarang adalah cacat kerana golongan miskin dimasukkan dalam kelompok besar yang tidak mengambil kira keperluan khusus, bermakna bantuan tidak dapat disasarkan secukupnya.
“Dalam 44 tahun ini, kita menyemak semula garis kemiskinan sebanyak tiga kali. Inilah masalahnya. Dengan tiga semakan itu, anda masih mendapati kemiskinan berleluasa, dan kemiskinan bandar tidak terkecuali.
“Pembuat dasar akan menggunakan garis ini untuk menyasarkan siapa yang miskin, tetapi ia tidak semudah itu.”
Dengan menggunakan pendapatan sebagai pengukur, katanya, ramai yang terkecuali daripada usaha pembasmian kemiskinan walaupun mereka tinggal dalam keadaan seperti kemiskinan.
Untuk membangunkan garis kemiskinan, beliau berkata, penggunaan Indeks Harga Pengguna perlu digantikan indeks kos sara hidup untuk mencerminkan perbelanjaan isi rumah dengan lebih jelas.
Beliau memberi contoh, ketika pandemik, walaupun harga barang mungkin tidak naik secara ketara, kos berkaitan pertambahan makanan bermakna peningkatan dalam perbelanjaan keluarga.
Untuk membangunkan MPI negara, katanya, pendapatan perlu dikecualikan sepenuhnya kerana ia kelihatan bercanggah dengan matlamat indeks dalam mengukur pelbagai faktor berkaitan kemiskinan.
Denison Jayasooria, pakar sosiologi dan felo penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata perlu ada perbezaan lebih baik antara kemiskinan bandar dan luar bandar kerana kedua-dua komuniti itu mempunyai keperluan dan masalah berbeza.
Di kawasan luar bandar, katanya, kemiskinan mungkin bererti kurang pekerjaan, wang atau sumber, tetapi ia sangat berbeza di kawasan bandar.
“Terdapat pemahaman di kawasan bandar, jika anda hidup dalam flat satu bilik dengan lima anak, itu tidak boleh diterima. Anda memerlukan tiga bilik, bekalan air dan elektrik, akses ke taman permainan, keselamatan dan lif yang berfungsi, jika anda tinggal di bangunan tinggi.”
Katanya, perlu difahami kemiskinan adalah “secara perbandingan”, oleh itu cara ia ditentukan perlu mencerminkan keperluan berbeza komuniti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan