Khamis, 8 April 2021

Johor benar solat sunat tarawih, majlis iftar di masjid

Athirah Huda Zalhe

Keutamaan kepada jemaah lelaki, kanak-kanak 7 tahun ke atas

BANGI – Johor membenarkan program Ihya’ Ramadan yang merangkumi solat sunat tarawih dan kegiatan pengimarahan masjid serta surau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kebenaran itu setelah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Menerusi kenyataan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pelaksanaan solat sunat tarawih diberi keutamaan kepada jemaah lelaki dewasa serta kanak-kanak yang berumur 7 tahun dan ke atas.

Selain itu, solat sunat tarawih hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat diikuti solat sunat witir sebanyak tiga rakaat.

“Imam bertugas bagi solat sunat tarawih hendaklah membaca surah-surah lazim sahaja pada setiap rakaat selepas bacaan sural Al-Fatihah.

“Imam dan para jemaah hendaklah sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Katanya lagi, kebenaran itu berkuat kuasa sepanjang bulan Ramadan iaitu mulai 13 April 2021 sehingga ketetapan lain yang akan ditentukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor setelah mendapat nasihat daripada MKN dan KKM.

Pada masa sama, semua kegiatan pengimarahan masjid dan surau khususnya di bulan Ramadan juga dibenarkan, termasuk program tadarus serta majlis khatam al-Quran.

“Program kuliah dan ceramah dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi satu jam, bagaimanapun kuliah sebelum atau selepas tarawih tidak dibenarkan.

“Majlis berbuka puasa, sahur dan moreh di dalam masjid dan surau dibenarkan untuk dilaksanakan di kawasan yang dikhususkan serta juadah hendaklah dibungkus. Tidak dibenarkan secara bufet atau layan diri,” katanya.

Bagi majlis-majlis tertentu dengan jamuan secara berhidang adalah dibenarkan, dengan hanya untuk bilangan 50 jemaah di ruang yang ditetapkan, katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu berkata, kegiatan memasak di dalam kawasan masjid serta surau tidak dibenarkan.

“Program agihan bubur lambuk di dalam kawasan masjid dan surau adalah dibenarkan.

“Majlis Qiamullail di masjid dan surau adalah dibenarkan untuk tempoh dua jam sebelum masuk waktu Subuh, namun jemaah tidak dibenarkan tidur bermalam di dalam masjid dan surau,” katanya.

Menurut kenyataan itu, semua arahan dan garis panduan berkaitan kebenaran boleh didapati melalui Pekeliling Bilangan 28 Tahun 2021 Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Bahagian Pengurussan Masjid dan Surau): Pekeliling Ihya’ Ramadan 1442H dan Aktiviti Pengimarahan Masjid dan Surau Negeri Johor dalam tempoh PKPB bagi memutuskan rantaian COVID-19.

Tiada ulasan: