Rabu, 21 April 2021

Ingatkan SOP dah longgar' - Peniaga

Tumpat: Tidak menyediakan buku catatan pelanggan dan tiada alat pengimbas suhu disediakan kepada pelanggan menyebabkan seorang pemilik premis menjual juadah berbuka puasa di Jalan Wakaf Bharu di sini, dikenakan kompaun hari ini.

Alasan lain yang diberikan adalah kerana menyangkakan peraturan baharu sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah dilonggarkan menyebabkan pemiliknya yang berusia dalam lingkungan 30-an tidak menyediakan laluan khas kepada pelanggannya untuk keluar masuk.

Dia yang enggan dikenali berkata, sudah bertanyakan kepada beberapa individu berkaitan peraturan berkenaan jualan di pada Ramadan dan pelaksanaan PKP kali ini yang didakwa hanya memadai menyediakan buku catatan pelanggan dan kod QR MySejahtera.

"Saya tidak tahu bahawa peraturannya tetap sama seperti PKP yang terdahulu.

"Saya sudah bertanyakan kepada beberapa rakan dan mereka mengatakan cukup sediakan buku (catatan) dan kod QR MySejahtera sahaja, malah laluan keluar masuk juga tidak perlu," katanya ketika ditemui di sini.

Peniaga itu diambil tindakan dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat bersama penguat kuasa Majlis Daerah Tumpat (MDT).

Operasi diadakan sekitar premis dan gerai yang menjual juadah berbuka puasa di sekitar Wakaf Bharu dan hasil pemerhatian mendapati masih ada yang mengambil mudah terhadap pematuhan SOP terutama pelanggan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, tahap pematuhan orang ramai di daerah ini dianggarkan berada pada tahap 95 peratus.

Bagaimanapun, menurutnya, hasil pemantauan yang dibuat terhadap lokasi menjual juadah Ramadan, kebanyakan penjual dilihat tidak menyediakan peralatan seperti buku catatan pelanggan, pengimbas suhu dan kod QR MySejahtera.

"Kami memandang serius dan mengambil tindakan tegas kerana amaran serta nasihat sudah lama diberikan," katanya.

Tiada ulasan: