BIADAB! Itu sahaja perkataan paling sesuai untuk dalang penerbitan klip video lagu raya yang mempromosikan judi.
Dalang itu harus diburu habis-habisan dan dikenakan hukuman seberat-beratnya oleh mahkamah. Iklan itu bukan sahaja berkisar soal mempromosikan judi tetapi jauh daripada itu ia boleh mencemar dan menjatuhkan maratabat umat Islam dan agama Islam.
Mustahil dan tidak masuk akal, kalau penerbit klip video ini memberi alasan tidak tahu judi haram di sisi Islam. Paling biadab apabila penerbitan itu dilakukan khususnya untuk orang Melayu yang akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Bagaimana kalau video ini ditonton oleh orang asing di luar negara, mereka pasti menyangka Malaysia membenarkan umat Islam berjudi?
Apakah penerbit tersebut amat bodoh untuk memahami atau memikirkan kesannya kepada orang Melayu dan umat Islam berikutan penerbitan klip itu? Dari’ hutan’ mana penerbit itu datang sehingga tak tahu soal undang-undang dan larangan agama Islam dalam bab judi?
Tak kan penerbit itu buta atau tidak nampak bagaimana di kedai-kedai tertera tulisan yang menyatakan judi haram di sisi Islam, orang Islam dilarang membelinya.
Sebenarnya ia hanyalah kejahilan yang sengaja diadakan-adakan. Penerbit itu pasti tahu tetapi sengaja buat tak tahu atau buat bodoh kerana mahu mengambil kesempatan ketika ramai orang Melayu berada dalam keadaan tersepit atau ‘urusan perut terganggu’ kerana ancaman pandemik Covid-19.
Mereka begitu mudah memperalatkan penyanyi dan pelakon iklan itu dengan bayaran serendah RM180. Pelakon mendakwa bersedia menerima bayaran sebanyak itu kerana terdesak, soal sama ada mereka berbohong atau tidak, biarlah pihak polis siasat.
Jumlah bayaran itu sudah membuktikan bahawa penerbit atau dalang klip video itu memang mahu mengambil kesempatan ke atas mereka yang terdesak.
Sebab itulah dalang penerbitan ini tidak boleh dilepaskan dan mereka perlu diburu biarpun ‘di dalam lubang cacing’ sekalipun.
Perbuatan mereka biadab, melampau dan tidak boleh dikompromi sama sekali kerana ia telah membangkitkan kemarahan umat Islam. Pihak polis harus menyiasat apakah motif di sebalik iklan itu.
Jika tiada tindakan tegas dan hukuman berat, pada masa akan datang ramai lagi ‘penyangak’ seumpama ini yang mahu mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain sehingga sanggup melakukan perbuatan yang boleh mencemarkan agama Islam dan merendah-rendahkan martabat orang Melayu.
Memang benar banyak rakyat tengah susah dan ramai orang Melayu terlibat akibat pandemik Covid-19 tetapi pada masa sama penulis percaya mereka masih mampu memikirkan antara halal dan haram.
Apapun dalam kes ini, dalang perbuatan ‘gila’ itu harus menerima akibat daripada ‘kebodohannya’ dan sikap tidak sensitif terhadap orang Melayu dan agama Islam.
Diharap janganlah pulau ada ‘langau-langau’politik yang bergentayangan untuk menyalahkan kerajaan dengan menganggap penerbitan klip video itu menunjukkan betapa rakyat tengah susah.
Kalau itu hujahnya, ‘kejahilan’ dan sikap mereka tiada bezanya dengan penerbit tersebut iaitu mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain.
Cuma bezanya, kalau penerbit itu ‘gila’ memburu wang, ‘langau-langau’ politik ini pula ‘kemaruk’ memburu kuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan