Sabtu, 17 April 2021

Hormati hak kebebasan beragama serta jauhi perjudis

azrulhakimie

Sikap keterbukaan perlu diteruskan setiap anggota masyarakat.

KUALA LUMPUR– Sejak kebelakangan ini pelbagai kisah dan komentar meresahkan yang menyentuh soal sensitiviti agama dan perbezaan kaum, dilihat banyak ‘diperkatakan’ di banyak platform media.

Sayugia diingatkan betapa ‘harga yang mahal’ perlu dibayar oleh sesebuah negara berbilang kaum seandainya keharmonian dan persefahaman antara masyarakat gagal dicapai, apabila amalan bertolak ansur serta menghormati individu tanpa membeza-bezakan ras dan agama, diketepikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sikap keterbukaan dalam amalan kehidupan masyarakat majmuk selama ini perlu diteruskan setiap anggota masyarakat.

“Di Malaysia, Islam termaktub sebagai agama Persekutuan, namun sudah lama kebebasan beragama diamalkan. Hak ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Bukan semata-mata untuk Islam tetapi hak-hak kepercayaan agama-agama yang lain selama mana ia tidak menganggu ketenteraman, menyusahkan atau tidak membawa kepada mudarat mana-mana pihak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kisah empat individu termasuk seorang pengawal peribadi direman dua hari lepas bagi membantu siasatan kes pukul dua pengawal peribadi oleh majikan durjana semata-mata kerana dua pengawal itu mengaku berpuasa; mengundang kecaman pelbagai pihak, dan mencetuskan tajuk baharu paling popular menjadi buah mulut ramai.

Pakar undang-undang dan perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata hak kebebasan beragama di negara ini wajar dihormati sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan melindungi kebebasan beragama dan menyatakan setiap individu berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.

“Malah hak ini menghalang sebarang perbuatan yang memaksa sesiapa pun daripada meninggalkan agamanya. Perbuatan menghalang atau memaksa seseorang untuk meninggalkan suruhan agamanya bererti menafikan hak individu tersebut daripada mengamalkan agamanya. Ini jelas bertentangan dengan Perkara 11(1),” katanya.

Khairil Azmin berkata perbuatan itu juga bertentangan dengan hak asasi kesamarataan dinyatakan dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kesamarataan dan mengharamkan sebarang diskriminasi, termasuk atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir mahupun jantina.

Presiden Global Unity Network Shah Kirit Kakulal Govindji pula berpendapat tindakan tegas perlu diambil pihak berkuasa untuk mengelak sebarang kes atau krisis berpunca daripada individu yang gagal menghormati agama lain.

“Mentaliti dan tindakan memandang rendah atau menghina agama lain sepatutnya tidak ada di Malaysia. Kita perlu hormat dan akur kepada hak kebebasan beragama yang dijamin di negara ini. Pihak polis memainkan peranan yang baik pada masa ini bagi menangani perkara berkenaan daripada berlanjutan atau berulang di masa hadapan,” katanya.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pula dalam kenyataannya turut menekankan kepentingan menghormati kebebasan individu menjalankan tuntutan atau kepercayaan melalui anutan, amalan serta ajaran agama dan tiada sesiapa yang boleh dipukul, dihina atau diaibkan kerana melaksanakannya. –Bernama

Tiada ulasan: