Sabtu, 17 April 2021

Harga ayam naik: KPDNHEP Johor keluarkan 26 notis

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor mengeluarkan 26 notis susulan kenaikan harga ayam dan daging, bagi tempoh lima hari sejak awal Ramadan Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr Chong Fat Full, berkata notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan membabitkan 20 peniaga runcit dan enam pemborong ayam di pasar awam sekitar bandar raya.

"Ia bagi siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

"Berdasarkan rekod, dari awal tahun sehingga semalam, sebanyak 4,165 premis diperiksa meliputi 3,542 peruncit, 518 pemborong dan 105 pengilang.

"Susulan daripada pemeriksaan ini, sebanyak 124 notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pulai yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub, menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama KPDNHEP mengatasi isu kenaikan harga ayam dan daging segar.

"Bekalan protein yang mampu milik oleh rakyat antaranya ayam, daging import dan daging tempatan sememangnya menjadi keperluan rakyat. Adalah wajar mengadakan pertemuan segera dengan pembekal ayam dan daging supaya dapat mendengar pandangan mereka.

"Kita mengesyorkan satu harga syiling yang boleh dilaksanakan.

"Perlu juga mengadakan perbincangan dengan KPDNHEP. Ini penting sebab Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hanya dapat menyediakan kecukupan barangan keperluan rakyat, manakala KPDNHEP yang melaksanakan penguatkuasaan harga ini," katanya, di sini, hari ini.

Difahamkan, ketika ini, ayam dijual pada harga RM9.20 sekilogram (kg), daging lembu tempatan RM40/kg, daging import RM25/kg, manakala kambing pula RM50/kg.

Tiada ulasan: