SEJAK dikuatkuasakan 12 Mac lalu, Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No.2) 2021 berkaitan berita palsu terus diperdebatkan walaupun penjelasan demi penjelasan diberikan bahawa ia bertujuan mencegah penyebaran berita tidak benar, fitnah dan berbaur hasutan yang menjadi-jadi sejak penggunaan internet dan media sosial begitu meluas.
Dalam keadaan COVID-19 masih menular, ordinan itu sangat penting bagi memastikan kerajaan dapat menguruskan program imunisasi tanpa sebarang gangguan. Wartawan BH, Mohd Iskandar Ibrahim, mendapatkan pandangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman dan pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof.
Soalan (S): Apakah keperluan dikuatkuasakan ordinan baharu berkaitan berita palsu?
Jawapan (J): Darurat hanya boleh diisytiharkan atas sebab dalam Perlembagaan dan undang-undang darurat mesti mengikut apa yang dinyatakan mengenai sebab darurat itu diisytiharkan. Berdasarkan Perlembagaan, sebarang ordinan berkaitan boleh dibuat bagi menangani isu berbangkit dan dalam hal ini, mengenai menangani penularan berita palsu.
Jika kita lihat Perkara 150(2C) Perlembagaan Persekutuan, sesuatu ordinan yang dimasyhurkan hendaklah mempunyai kuat kuasa serta kesan yang sama seperti Akta Parlimen dan perlu terus berkuat kuasa serta berkesan sepenuhnya seolah-olah ordinan itu ialah Akta Parlimen, sehingga ordinan itu dibatalkan atau diungkaikan di bawah Fasal (3) atau sehingga ordinan itu luput di bawah Fasal (7).
Jadi sama ada ordinan ini perlu atau sebaliknya, pihak berkuasa lebih mengetahui kerana mereka mempunyai semua maklumat dan bukti. Kalau pihak kerajaan berpuas hati dengan keadaan berita palsu akan memberi kesan kepada kesihatan atau ekonomi negara, terpulang kepada kerajaan untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.
Sama juga dengan pengisytiharan darurat, jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati, ia terpulang kepada kebijaksanaan baginda dan tindakan disyorkan itu dirasakan perlu demi keselamatan rakyat dan negara.
S: Apa yang membezakan ordinan baharu ini dengan akta sedia ada?
J: Itu kita kena lihat sebab ia (ordinan) diadakan. Setiap undang-undang ada objektifnya dan apa keperluannya. Ordinan ini dengan jelas mengenai usaha untuk menangani berita palsu. Sudah tentu kita tidak mahu berita palsu ini menular sehingga mendatangkan masalah kepada rakyat dan negara. Jika berita palsu ini menular, masyarakat dan negara akan terancam.
Definisinya mungkin berbeza, tetapi dalam keadaan sekarang, ordinan itu dengan jelas untuk menangani berita palsu. Malah, menteri sebelum ini sudah mengeluarkan kenyataan penguatkuasaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 adalah khusus menangani berita tidak benar berkaitan COVID-19 serta Proklamasi Darurat sahaja.
S: Ramai bimbang ordinan ini disalahgunakan dan merampas kebebasan suara rakyat?
J: Sebenarnya kebebasan bersuara, dalam mana-mana keadaan pun ada hadnya. Adakah tafsiran kebebasan bersuara ini bermaksud kita boleh memfitnah, menghentam orang, mengeluarkan kenyataan atau berita palsu? Lebih-lebih lagi dalam keadaan negara ketika ini yang sedang berdepan dengan ancaman COVID-19.
Kebebasan bersuara adalah satu kebebasan yang berhemah. Dengan memberikan pandangan yang membina. Sekiranya dengan darurat ini, mereka hendak bercakap melontarkan idea, saya rasa tiada masalah, saya tidak rasa kerajaan akan ambil tindakan. Tetapi bagi mereka yang menyebarkan fitnah dan hasutan, ini yang lebih mudah diambil tindakan di bawah darurat.
Bagi saya, mereka yang mempersoalkan mengenai kebebasan ini, adalah mereka yang mahu dan yang terbiasa menyebarkan fitnah dan berita palsu. Jadi mereka ini takut dan bimbang tindakan akan diambil terhadap mereka, lantas menyatakan kononnya kerajaan akan salah guna kuasa darurat.
Jika anda mengeluarkan kenyataan yang benar, mengkritik dengan cara berhemah, saya tidak rasa sesiapa pun akan mengambil tindakan terhadap anda. Ini saya rasa adalah suara yang berasakan kegiatan mereka menyebarkan fitnah dan berita palsu akan terencat dengan adanya darurat.
S: Sejauh mana ordinan ini boleh digunakan kepada golongan antivaksin walaupun mereka mungkin membawa bukti saintifik atau pandangan ahli akademik sebagai hujah?
J: Ini sebenarnya subjektif, ia mesti mempunyai sebab tertentu. Sudah tentu ordinan mengenai berita palsu ini mampu menjadi deterrent (pencegah) untuk menangani kumpulan yang sengaja menyebarkan berita palsu dalam ruang lingkup ordinan ini dibuat.
S: Sejauh mana kewujudan ordinan ini memberi kesan kepada gerak kerja menapis dan memberi kenyataan balas terhadap berita palsu?
J: Pendirian saya sesuatu undang-undang itu bergantung kepada individu yang mentadbir undang-undang itu. Undang-undang ini sebenarnya bagus. Memang menjadi harapan penularan sebarang berita palsu dapat ditangani dengan lebih berkesan melalui ordinan ini, namun pelaksanaan undang-undang itu perlu adil.
Sebab itu saya katakan pelaksanaan sesuatu undang-undang ini bergantung kepada siapa yang mentadbirnya. Jika individu itu telus dan baik, maka baiklah undang-undang itu dan jika ia berlawanan, maka buruklah undang-undang itu sehingga menyebabkan orang akan rasa dianiaya.
Justeru, kerajaan perlu melihat dan mendengar rungutan orang ramai terhadap sebarang ordinan dibuat. Adakah ia berasas atau sebaliknya. Malah Perdana Menteri menyatakan kerajaannya adalah kerajaan mendengar suara rakyat.
S: Ordinan berita palsu diperkenalkan tanpa melalui sidang Parlimen boleh memberi kesan terhadap prosedur jenayah dan melanggar hak individu. Apa komen?
J: Pertubuhan hak asasi manusia mesti faham bahawa hak asasi manusia itu hendaklah seimbang dengan orang ramai juga. Orang ramai juga mempunyai hak masing-masing. Kepentingan seseorang itu tidak boleh mengatasi kepentingan awam. Tiada seorang pun boleh bertindak bertentangan undang-undang yang ada sekarang, sama ada ordinan darurat atau undang-undang sedia ada, kita kena patuh kepada undang-undang.
Jadi berbalik kepada ordinan mengenai berita palsu ini, ordinan ini adalah remedi jangka pendek khusus bagi membendung penularan berita tidak benar mengenai COVID-19 dan Proklamasi Darurat, demi ketenteraman dan kepentingan awam.
Akta Antiberita Tidak Benar 2018 tak patut dimansuh
S: Sejauh mana Dr melihat kewujudan ordinan baharu berkaitan berita palsu?
J: Secara kasarnya kandungan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021 berkuat kuasa 12 Mac lalu, hampir serupa dengan Akta Anti Berita Tidak Benar (Akta 803) diluluskan 3 April 2018. Akta ini dimansuhkan pada 19 Disember 2019.
Namun, dari sudut fungsi dan tujuannya tidak sama. Ordinan ini bersifat sementara, tidak seperti akta. Ordinan darurat hanya berfungsi sewaktu darurat. Apabila tamat darurat, ordinan ini akan ditamatkan fungsinya selepas enam bulan, melainkan jika ia dibentangkan di Parlimen dan diluluskan sebagai akta.
Dari sudut skopnya, ordinan ini hanya meliputi perkara dalam ruang lingkup Proklamasi Darurat. Darurat dilaksanakan untuk menangani pandemik COVID-19, jadi skop ordinan juga perlu dihadkan kepada skop berkenaan.
Darurat bukan memberi kebebasan mutlak kepada kerajaan untuk buat undang-undang sesuka hati. Jika kerajaan ingin buat undang-undang dalam tempoh darurat dalam bentuk ordinan, ia perlu dibuat dalam ruang lingkup Proklamasi Darurat itu. Perkara ini ramai yang terkeliru.
S: Seriuskah ancaman berita palsu sehingga perlu diwujudkan ordinan baharu?
J: Berita palsu wujud sejak berzaman, begitu juga penipu dan pembohong. Ia persoalan etika, moral dan akhlak. Pada asalnya ia dikawal melalui kesedaran moral dan melalui sistem sosial. Kesedaran moral maksudnya kawalan diri sendiri untuk tidak berbohong.
Sistem sosial pula ialah tindak balas masyarakat bagi mereka yang berbohong. Kali pertama mungkin orang percaya, tetapi bila kerap berbohong orang tidak lagi percaya dan pembohong akhirnya tidak dipercayai oleh masyarakat dan dipulaukan. Selagi dia tidak menjejaskan hak orang lain, biasanya ia tidak dihukum oleh undang-undang.
Dalam masyarakat, terdapat juga mekanisme semakan terhadap sesuatu berita. Islam misalnya menekankan konsep 'tabayyun' bermaksud penerima berita ada tanggungjawab membuat penelitian terhadap berita diterima, sebelum bertindak berdasarkan berita itu atau sebelum menyebarkannya kepada orang lain. Ini semua mekanisme kawalan sosial ke atas berita palsu.
Apabila wujud mesin cetak, radio dan kemudian televisyen, wujud pula fenomena sebaran berita melalui media massa. Di sini bermula kawalan terhadap penyampaian berita. Media massa dikawal kerajaan supaya tidak menyebarkan berita palsu atau berita yang boleh mendatangkan kesan negatif.
Pengawalan begini perlu kerana berita disebarkan itu sampai kepada sasaran yang luas, tidak seperti sebaran berita secara berdepan seperti sebelumnya. Kawalan wujud sama ada melalui mekanisme penguatkuasaan oleh kerajaan atau melalui tindakan sivil oleh mangsa kepada berita palsu itu. Hampir semua negara ada kawalan begini.
Namun, apabila muncul internet serta media sosial, keadaan sekali lagi berubah. Kini semua orang boleh menyampaikan apa sahaja kepada seluruh dunia menggunakan pelbagai bentuk cara penyampaian. Sebelum ini media adalah hak eksklusif pemilik akhbar, stesen radio atau televisyen, tetapi kini semua orang boleh memiliki hak yang serupa.
Dari sinilah timbul perbahasan tentang keperluan undang-undang untuk mengawal berita palsu. Hal ini bukan isu hanya di Malaysia, bahkan seluruh dunia. Jadi, apabila bercakap soal berita palsu, ia bukan masalah saat pandemik sahaja, ia masalah global masa kini yang berlaku sejak penggunaan internet dan media sosial menjadi popular.
S: Perangi berita palsu melalui melalui fakta, bukan akta. Apa komen?
J: Kata-kata ini sedap dijadikan slogan, tetapi kita perlu berpijak di alam realiti. Sebelum itu, perlu juga disebutkan masalah berita palsu ini juga membabitkan soal pendidikan dan pembudayaan. Seperti dinyatakan tadi, penyampaian atau penyebaran berita palsu adalah soal etika, moral dan akhlak. Oleh itu pendidikan cara terbaik.
Dalam banyak situasi, proses penjernihan dan penjelasan amat sukar. Kadangkala penjelasan tentang berita palsu lebih lambat disebarkan berbanding berita palsu itu sendiri. Penyebarannya pun mungkin tidak meluas. Akibatnya ramai terus terpedaya dengan berita palsu. Sebab itu perlu ada kawalan perundangan.
Terdapat juga pihak tertentu menjadi 'kilang' menghasilkan berita palsu melalui pengolahan poster, video atau rencana yang kelihatan seperti benar sehingga ia mudah tersebar dalam masyarakat. Pihak ini perlu dididik, diberi amaran dan jika terus berdegil, perlu dikenakan tindakan undang-undang.
Masyarakat biasanya cepat teruja dengan berita sensasi, kontroversi dan panas. Ramai sukar mengaku tersilap apabila terkhilaf menyebarkan berita palsu. Proses pendidikan perlu berterusan dan dilipat ganda, tetapi mekanisme perundangan tetap penting.
Sekarang pun sudah ada usaha di pihak kerajaan melawan berita 'auta' dengan fakta. Laman sesawang 'sebenarnya.my' disediakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berperanan menghadapi berita palsu dengan fakta. Namun, realitinya ia belum mampu memadamkan kepalsuan tersebar, apa lagi membentuk budaya penggunaan media sosial yang benar-benar bertanggungjawab dan jujur. Sebab itu saluran undang-undang sama ada melalui tindakan sivil atau penguatkuasaan kerajaan diperlukan. Undang-undang bukan sahaja untuk menghukum, ia juga berperanan mencegah dan menjadi sebahagian daripada proses pendidikan.
S: Apakah akta sedia ada belum cukup taring?
J: Memang kita sudah ada akta lain, namun masing-masing dengan skop tersendiri. Akta Hasutan 1948 misalnya lebih menjurus kepada isu sensitif membabitkan hak dan keistimewaan berteraskan kaum, kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan seumpamanya. Jadi isu berkaitan COVID-19 tidak termasuk dalam skop Akta Hasutan 1948.
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 khususnya Seksyen 233 memang boleh digunakan untuk tindakan ke atas penyebaran berita palsu melalui internet. Bagaimanapun, ia terhad kepada kesalahan dilakukan sendiri pengguna internet. Dalam ordinan baharu ini, skop kesalahan itu meliputi penyebaran secara langsung, media cetak, media elektronik dan internet. Bahkan ia meliputi kesalahan kepada sesiapa yang menjadi penaja atau penyedia sumber kewangan bagi penyebaran berita palsu berkenaan.
S: Apakah pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 terburu-buru?
J: Akta itu sepatutnya ditambah baik dan dikekalkan, bukan dimansuhkan. Tidak dinafikan akta berkenaan mengandungi beberapa aspek perlu kaji semula terutamanya dari sudut definisi dan skop 'berita tidak benar'.
Dalam akta berkenaan, skopnya luas kerana ia hanya memberikan fokus kepada kesahihan berita itu, tanpa melihat kepada kesan dan tujuan berita itu disebarkan. Sepatutnya aspek kesan dan tujuan ini disertakan dalam takrif 'berita tidak benar'.
Perlu difahami, penyampaian berita tidak benar hanya wajar dikenakan tindakan dan hukuman jika ia memberikan kesan yang tidak baik kepada masyarakat umum, negara atau individu lain. Jika berita palsu itu disampaikan atau disebarkan, tetapi ia tidak memberikan apa-apa kesan, maka sepatutnya ia hanya tertakluk kepada amaran dan teguran.
Begitu juga aspek tujuan. Elemen niat atau tujuan disebut sebagai mens rea, ini adalah penting dalam undang-undang jenayah. Seseorang yang menyebarkan berita palsu kerana kesilapan atau kecuaian sepatutnya tertakluk kepada hukuman berbeza berbanding mereka yang melakukan dengan sengaja.
Aspek ini perlu ditambah baik dalam akta berkenaan. Ia sepatutnya kekal dan dimanfaatkan, tetapi sebaliknya dimansuhkan.
S: Apakah komen mengenai pihak yang kurang setuju dengan pengwujudan ordinan baharu ini?
J: Sentimen yang wujud ialah ordinan ini bercanggah dengan hak asasi manusia iaitu kebebasan bersuara. Sebenarnya rakyat tetap bebas bersuara menyampaikan perkara yang benar. Cuma mungkin yang wajar dikhuatiri ialah jika ordinan ini disalah guna untuk tujuan politik.
Sebenarnya kekhuatiran begini wujud dalam mana-mana pelaksanaan undang-undang berbentuk pengawalan kebebasan. Namun, jika ada fakta jelas, tidak menjadi kesalahan untuk rakyat atau sesiapa sahaja mengkritik dan memberikan pandangan balas. Perlu diingatkan undang-undang ibarat pisau yang boleh digunakan sama ada untuk kebaikan atau keburukan. Jika mana-mana kerajaan gagal menggunakan undang-undang untuk kebaikan, rakyat boleh menghukumnya melalui kuasa undi dalam pilihan raya.
S: Pengenalan Ordinan ini tanpa melalui sidang Parlimen memberi kesan terhadap prosedur jenayah sedia ada. Apa komen?
J: Ordinan ini dibuat dalam ruang lingkup tujuan Proklamasi Darurat. Ia tidak digunakan untuk tujuan lain. Kalau kita lihat takrifan 'berita tidak benar' dalam ordinan itu, kita dapat faham bahawa skopnya memang terhad.
Seksyen 2 ordinan menyebut, 'berita tidak benar' termasuk apa-apa berita, maklumat, data dan laporan yang keseluruhannya atau sebahagiannya adalah palsu berhubungan dengan COVID-19 atau proklamasi darurat, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea. Dua skop iaitu COVID-19 dan proklamasi darurat disebut secara khusus di sini.
Oleh itu, saya tidak fikir ordinan ini perlu menjadi satu polemik besar. Ia bertujuan memastikan fokus kerajaan untuk menamatkan atau mengawal penularan wabak serta memulihkan ekonomi negara dapat berjalan lancar tanpa gangguan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
Tambahan pula yang dianggap salah hanya jika berita disampaikan itu tidak benar. Rakyat termasuk aktivis masyarakat, pengamal media dan pembangkang tetap bebas bersuara melalui pelbagai saluran media, asalkan apa yang disampaikan itu tepat dan betul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan