Selasa, 13 April 2021

Gaji rendah pun 'sapu' .

Kuala Lumpur: Terpaksa menerima sahaja peluang pekerjaan di hadapan mata tanpa 'banyak bunyi' mengenai gaji yang ditawarkan.

Itu senario yang perlu ditempuhi graduan baharu untuk memasuki alam pekerjaan berikutan kekangan kewangan dihadapi kebanyakan majikan akibat pandemik Covid-19.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan majoriti siswazah memasuki pasaran kerja pada 2020 menerima anggaran gaji bulanan antara RM1,001 hingga RM1,500 berbanding purata RM2,001 hingga RM2,500 yang direkodkan pada 2019.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad pula memaklumkan, kira-kira 25 peratus atau 75,000 orang daripada 300,000 graduan pada 2020 diunjurkan terjejas peluang mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian akibat Covid-19.

Ia berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan 2019 yang dilaksanakan Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan 41,161 graduan pada 2019 masih belum bekerja dan dengan unjuran 75,000 bagi tahun semasa, dianggarkan 116,161 graduan perlu diberikan perhatian untuk kebolehpasaran mereka.

Ikuti perkongsian tiga graduan pemegang ijazah yang rela menerima gaji permulaan lebih rendah pada kadar RM1,001 hingga RM1,501 sebulan.

  • 'Terpaksa, lebih baik bekerja daripada menganggur'

    Kerisauan tidak mendapat peluang pekerjaan lain pada masa depan menyebabkan graduan dalam bidang komunikasi dan media, Izati (bukan nama sebenar), 24, menerima tawaran kerja daripada sebuah syarikat pemasaran di Nilai, Negeri Sembilan walaupun gaji yang ditawarkan adalah RM1,200 sebulan.

    Dia yang tamat belajar pada akhir 2020 memutuskan menerima tawaran itu pada Disember lalu.

    "Pada masa itu, trend syarikat membuang pekerja kerap kedengaran menyebabkan saya terima sahaja tawaran kerja yang ada depan mata tanpa fikir panjang.

    "Keluarga juga beri sokongan penuh dan menasihatkan saya supaya tidak memilih kerja apatah lagi dalam pasca pandemik kini," katanya ketika dihubungi.

    Menurutnya, gaji minimum itu diterimanya disebabkan dia masih di bawah penilaian syarikat selama tiga bulan.

    "Gaji RM1,200 itu juga belum tolak duit Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.

    Mengulas mengenai skop kerjanya, Izati berkata, gaji yang diterimanya tidak setanding dengan bebanan dipikul di syarikat itu.

    "Hampir setiap hari saya pergi ke pejabat awal pagi dan pasti akan balik jam 10 malam kerana wajib menyiapkan tugasan harian.

    "Jika ditangguhkan tugasan, keesokan harinya pasti bebanan kerja lebih dua kali ganda," katanya.

    Sedih dengan situasi itu, Izati turut mempersoalkan peranan latar belakang pendidikannya yang seharusnya membantu dia mendapat gaji lebih baik.

    "Saya rasa bukan saya sahaja yang tidak berpuas hati dengan situasi ini, tetapi semua sama ada masih belajar mahupun sudah tamat.

    "Ia seolah-olah pendapat kebanyakan orang mengenai tawaran gaji lebih baik jika ada ijazah hanyalah sekadar khabar angin," katanya.

    Menurutnya, sebaik tempoh penilaian syarikat tamat, dia ditawarkan sebagai pekerja tetap dengan gaji RM1,500.

    Katanya, dia turut berharap keadaan ekonomi kembali normal tidak lama lagi supaya graduan sepertinya menerima gaji setimpal setanding prestasi dimiliki mereka.

    KISAH 2

    Tiada peluang kerja baharu yang diterimanya walaupun sudah menghantar lebih lima permohonan ke syarikat berbeza menyebabkan graduan Ijazah Sarjana Muda Juruukur Bangunan, Arina (bukan nama sebenar), 24, tidak berganjak daripada syarikat tempatnya menjalani latihan industri sebelum ini.

    Arina berkata, dia menerima gaji RM1,200 sebulan yang ditawarkan dengan skop kerja sebagai pentadbir di sebuah syarikat di Larkin, Johor yang mana 360 darjah berbeza daripada bidang pengajiannya.

    Baginya yang baru sahaja tamat belajar pada Januari lalu, gaji diterimanya itu tidak setimpal.

    "Walaupun pada mulanya saya setuju dengan gaji itu, tetapi jauh di sudut hati saya menganggap ia sangat rendah.

    "Tetapi jika difikirkan semula, lebih baik bekerja daripada menganggur," katanya yang menetap di Pasir Gudang, Johor.

    Menurutnya, gaji yang diterimanya juga hanya sekadar cukup makan selepas ditolak dengan kos perbelanjaan di tempat kerja dan kos pengangkutan.

    "Saya juga tidak menyalahkan syarikat itu kerana mereka juga mengalami masalah kewangan berikutan impak Covid-19.

    "Jika diberi tawaran kerja lain dengan gaji lebih baik, pastinya saya akan memutuskan untuk berhenti.

    "Buat masa ini, saya reda sahaja dan ambil sebanyak mana pengalaman dalam industri," katanya.

    KISAH 3

    Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Sains Kelestarian), Layli (bukan nama sebenar), 24, yang pernah bekerja di sebuah organisasi alam sekitar di ibu kota hanya menerima gaji RM900 sebulan.

    Bagaimanapun, katanya, gaji yang ditawarkan itu adalah setimpal dengan skop kerjanya memandangkan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

    "Pada pandangan saya, mentaliti di mana gaji seharusnya dibayar tinggi berdasarkan tahap pendidikan perlu dihapuskan kerana kemahiran adalah aspek utama yang perlu dinilai oleh majikan.

    "Jika ada graduan dibayar lebih tinggi pula, saya percaya ia setimpal dengan pengalaman dan kemahiran yang mereka ada," katanya yang menetap di Cheras, Selangor.

    Layli berkata, isu gaji rendah dalam kalangan graduan baharu sudah lama diperjuangkan namun senario itu masih berlaku hingga kini.

    "Sebelum dunia dilanda wabak Covid-19, isu gaji yang diterima dibawah tahap minimum terutama dalam kalangan graduan memang sudah wujud dan tidak pernah selesai.

    "Bagi saya sebagai graduan baharu, kebanyakan daripada kami ditawarkan dengan gaji minimum yang rendah atas sebab tiada pengalaman.

    "Oleh itu, saya berharap kerajaan dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan bekerjasama bersama pemain industri," katanya.

    Layli berkata, dia kini melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang sama dan tidak lagi bekerja di syarikat itu.

  • Perlu tetap gaji minimum khusus

    Kerajaan perlu menetapkan gaji minimum khusus untuk siswazah supaya mereka tidak dibayar lebih rendah daripada gaji minimum yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.

    Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, satu garis panduan penetapan gaji khusus buat siswazah yang mempunyai kelayakan perlu ada supaya syarikat tidak mengambil kesempatan dan menggunakan alasan Covid-19 untuk membayar gaji mereka lebih rendah.

    "Jika gaji siswazah bermula hanya RM1,000, maka ia lebih rendah daripada gaji minimum yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.

    "Situasi ini amat menyedihkan kerana mempunyai ijazah biasanya dianggap sebagai pilihan terbaik untuk mendapatkan gaji yang lebih baik, tetapi tidak di negara kita," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

    Menurutnya, pihaknya menyokong kenyataan dikeluarkan Majlis Belia Malaysia (MBM) sebelum ini mengenai siswazah perlu dibayar dengan 'gaji bermaruah'.

    "Mungkin kerajaan perlu gubal satu Akta Gaji Minimum untuk graduan baharu. Kita faham faktor ekonomi akibat pandemik Covid-19, tetapi saya risau ada sesetengah syarikat mengambil kesempatan dalam keadaan pandemik untuk beri gaji lebih rendah kepada pekerja baharu.

    "Tak munasabah beri alasan Covid-19 untuk turunkan gaji, biasanya jarang orang turunkan gaji.

    "Saya fikir perlu ada mekanisme untuk tetapkan gaji minimum bagi siswazah berdasarkan gred.

    "Bayangkan jika tiada satu garis panduan penetapan gaji minimum buat mereka, kalau gaji siswazah turun sampai tahap gaji diploma dan diploma turun ke gaji biasa, penat lelah mereka belajar seolah-olah tidak berbaloi," katanya.

    Sementara itu, Presiden MBM Jufitri Joho berkata, kerajaan harus mencari jalan mengatasi masalah gaji rendah selaras dengan misi menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

    "Alasan keadaan ekonomi semasa tidak memadai walaupun itu adalah antara alasan yang absah," katanya.

    "Kita perlu kepada kestabilan politik yang menjadi teras utama kepada kestabilan ekonomi.

    "Apabila politik tidak stabil, maka kita tidak boleh merancang pelbagai agenda penting ke depan termasuk agenda tangga gaji dan tambah merisaukan apabila pelabur lari kerana tidak ketentuan politik," katanya.

    Jufitri berkata, mengikut gaji yang dicadangkan melalui Kajian Belanjawanku Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2019 untuk bujang yang tidak berkenderaan di Lembah Klang adalah RM1,870.

    "Berdasarkan petunjuk ini, saya syorkan RM2,000 adalah gaji purata ideal permulaan untuk siswazah yang baru memasuki alam pekerjaan sambil menasihatkan mereka supaya meningkatkan etika dan disiplin kerja serta hidup dengan gaya hidup sederhana," katanya.

    "Selain itu, kerajaan harus memainkan peranan melalui Majlis Perundingan Gaji Negara dan Akta Gaji Minima untuk berunding dan menguatkuasakan perkara berkaitan supaya nasib pekerja terbela," katanya.

    Beliau berkata, kesatuan sekerja dan kesatuan majikan harus mencapai kesepakatan untuk bersama-sama menjayakan agenda ini dengan melihat kekangan dan cabaran di kedua-dua pihak.

  • Tiada ulasan: