Jumaat, 9 April 2021

Edar 488g kanabis, tukang kebun ke tali gantung

Mohd Zamri Saidin didapati bersalah mengedar kanabis di hadapan sebuah 
rumah di Kampung Baru pada 2018. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Seorang tukang kebun dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 488g dadah jenis kanabis, tiga tahun lepas.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh menjatuhi hukuman itu ke atas Mohd Zamri Saidin, 53, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakiman ringkasnya, Ahmad Shahrir berkata keterangan kes pembelaan nyata bersifat bertentangan dan menongkah naratif kes pendakwaan.

“Keterangan kes pendakwaan menjurus kepada penemuan plastik hitam berisi 488g kanabis itu dalam raga motosikal Yamaha yang ditunggang tertuduh sedangkan keterangan pembelaan mengatakan plastik hitam itu dijumpai berhampiran pasu di pekarangan kawasan rumah di Kampung Baru di sini,” katanya.

Hakim itu berkata apabila pembelaan mengemukakan naratif yang bertentangan dan menongkah naratif kes pendakwaan, pada hakikatnya, pembelaan mengutarakan gagasan yang menunjukkan saksi-saksi pendakwaan tidak berkata benar dan telah menganiayai tertuduh melalui keterangan mereka.

“Tanpa sebarang keterangan yang boleh dipercayai bagi menunjukkan wujudnya sebarang hasad atau dendam terhadap tertuduh hingga sanggup memberikan keterangan palsu yang boleh mengakibatkan tertuduh dihukum mati atau penjara seumur hidup, mahkamah ini tidak mempunyai sebarang justifikasi untuk membuat dapatan bahawa saksi-saksi pendakwaan telah mereka-reka keterangan semata-mata untuk menganiayai tertuduh,” katanya.

“Setelah menilai keterangan pembelaan dan mempertimbangkan keterangan kes pendakwaan, mahkamah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan gagal mematahkan anggapan mengedar di bawah Seksyen 37(da)(vi) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah bagi pertuduhan mengedar 488g kanabis di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 seperti dalam pertuduhan. Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tertuduh,” kata hakim itu.

Mohd Zamri dituduh mengedar dadah berbahaya itu di hadapan sebuah rumah di Kampung Baru pada 3.45 petang, 8 Mac 2018, mengikut Seksyen 38B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 15 sebatan.

Sembilan saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Hanum Abdul Hadi manakala Mohd Zamri diwakili peguam Luqman Mazlan, Rosal Azimin Ahmad dan Muhammad Amiraizat Abdul Rani.

Tiada ulasan: