Khamis, 1 April 2021

Dekati warga emas, OKU daftar vaksin Covid-19

Oleh SITI A'ISYAH SUKAIMI
RINA Mohd. Harun (dua kanan) beramah mesra bersama para peserta pada Konvensyen NGO KPWKM 2021 di Hotel Everly di Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA: Rasa ragu-ragu, mahu melihat keberkesanan dahulu selain memerlukan bantuan untuk pendaftaran antara faktor golongan warga emas belum mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, justeru, pihak kementeriannya menggerakkan agensi di bawahnya termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendekati warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk pendaftaran tersebut.

Menurutnya, langkah tersebut giat dilaksanakan bagi menggalakkan mereka mendapatkan vaksin fasa kedua yang mengutamakan warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpenyakit kronik bermula 19 April ini.

“Kita mempunyai kira-kira 500,000 penerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ini belum lagi dengan institusi lain. Kalau Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), kita ada seramai 47,000 orang daripada keseluruhan 143 PAWE.

“Jadi, kerajaan melalui kementerian ini mendaftarkan mereka secara berperingkat untuk memudahkan dari segi pendaftaran bagi PICK,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen NGO di sini hari ini.

Beliau berkata, senarai nama penerima bantuan dan institusi di bawah JKM melibatkan warga emas dan OKU boleh diserahkan untuk pendaftaran bagi menerima vaksin Covid-19 iaitu dengan syarat mereka turut bersetuju.

Selain itu, katanya, pihak kementerian turut mengambil inisiatif membuka kaunter bagi membantu pendaftaran PICK dalam kalangan warga emas dan OKU di dalam program yang dianjurkan.

Mengenai Konvensyen NGO yang dirasmikan beliau, Rina berkata, ia dihadiri kira-kira 300 peserta daripada 165 NGO dan julung kali diadakan melibatkan zon tengah serta akan diperluas ke zon lain termasuk timur, utara, selatan serta Sabah dan Sarawak.

“Kita berharap NGO turut menjadi ejen penyampai kepada masyarakat. Apabila kerajaan mengumumkan misalnya bantuan dan inisiatif, ada maklumat itu tidak sampai ke akar umbi, jadi NGO ini diperlukan untuk menguar-uarkan apa yang dilaksanakan oleh kerajaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha sama antara pihak kementerian dan NGO perlu diperkukuhkan lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik Covid-19 menyebabkan ramai yang terkesan. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: