Sabtu, 17 April 2021

8 terlibat iklan judi raya ditahan, dalang masih diburu – Timb IGP

timbalan
Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani - Gambar BERNAMA.COM

POLIS mengesahkan lima lelaki dan tiga wanita yang disyaki terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juruvideo serta pengarah video iklan mempromosikan judi dalam talian bagi mencari ‘duit raya’ telah ditahan, semalam.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, kesemua mereka berusia di antara 24 dan 47 tahun itu akan direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Beliau berkata pada masa ini, usaha mengesan dalang utama di sebalik pembikinan video ini masih diteruskan.

“Sebanyak 38 laporan polis berkaitan video ini dibuat sebelum polis menahan tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 26 tahun yang berlakon dalam iklan berkenaan.

Kesemua mereka mengaku menerima bayaran untuk berlakon dalam iklan berdurasi 2 minit satu saat itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Acryl Sani sebelum ini memaklumkan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung sebuah video iklan mempromosi aktiviti judi dalam talian bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tegasnya, siasatan ke atas video tersebut akan menjurus kepada penerbit dan pelakon iklan tersebut.

Katanya, hasil siasatan susulan, polis kemudian menahan tiga lagi individu awal pagi tadi, yang juga ejen artis, jurukamera dan pengarah video berkenaan di sekitar Ampang.

“Siasatan awal yang dijalankan mendapati penggambaran video ini dibuat di Ampang dan Hulu Langat, pada 13 Mac lalu.

“Semua lapan individu terbabit ditahan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Kata Komunikasi dan Multimedia 1988 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit di dalam apa jua aktiviti perjudian di negara ini.

Tiada ulasan: