on
KUALA LUMPUR: Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa antara lain disiasat di
bawah Akta Hasutan berhubung ucapannya pada Mac di Parit Buntar yang
mempertikai pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberitahu bahawa selain Seksyen
4(1) Akta Hasutan 1948, beliau juga disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun
Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
“Saya dipanggil bantu siasatan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Akta
Komunikasi dan Multimedia atas ucapan yang saya buat pada Mac di Parit Buntar.
“Siasatan ke atas saya (juga) didakwa di bawah Akta Hasutan,” katanya kepada
media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas selesai diambil
keterangan hari ini.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu mempersoalkan kenapa siasatan itu dibuat
selepas beberapa bulan, selain polis mengambil masa lama untuk membuka kertas
siasatan.
“Saya pelik kerana Akta Hasutan itu setahu saya semasa saya dalam PH kita tak
guna walaupun ada, malang hari ini saya tak tahu kenapa akta ini dipakai.
“Ucapan saya buat di kawasan saya pada Mac setelah jatuhnya kerajaan PH dan
setelah selesai Muhyiddin (dilantik) sebagai PM.
“Saya tidak tahu kenapa ia memakan masa sangat panjang. Kini baru dibuat
siasatan,” katanya.
Mujahid, yang hadir bersama peguam beliau, selesai memberi keterangan pada jam
7.20 petang tadi.
Beliau disoal siasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) lebih sejam
setelah tiba di Bukit Aman pada jam 5.30 petang.
Mac lepas, media melaporkan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah
Timur Laut, Pulau Pinang terhadap Mujahid dan ahli Parlimen Shah Alam, Khalid
Samad berhubung kenyataan mereka yang dianggap mempertikai kuasa Yang
di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-8.
No comments:
Post a Comment