ENAM pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian
(UNHCR) ditahan kerana merogol remaja berusia 15 tahun di sekitar Ampang,
Selangor.
Kesemua suspek yang ditahan semalam berusia 16 hingga 25 tahun bekerja sebagai
buruh kasar dan dua daripada mereka positif dadah jenis Opiat dan THC.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha
berkata, remaja perempuan itu dilihat mundar mandir di sekitar kawasan Pndan
Indah pada kelmarin oleh seorang pegawai kanan polis di Bukit Aman.
“Pengadu bertindak menghampiri budak perempuan berkenaan dan melakukan
pemeriksaan sebelum membawanya ke balai polis bagi tindakan lanjut kerana
disyaki telah dirogol oleh beberapa orang lelaki warganegara asing.
“Mangsa merupakan kanak-kanak warga tempatan yang tidak bersekolah dan pernah
mendapat perlindungan Rumah Nur Kasih tetapi telah melarikan diri sejak awal
tahun 2019.
“Ibu bapa mangsa juga dilaporkan telah bercerai,” katanya dalam satu kenyataan
hari ini.
Menurut Mohamad Farouk, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Ampang untuk
rawatan siasatan awal mendapati mangsa telah dirogol lebih dari sekali di
sekitar Ampang.
Jelasnya, kesemua suspek kini telah ditahan reman bermula semalam sehingga 15
November depan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol dan membawa
hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment