Friday, November 27, 2020

Tedung selar bergulung dalam tandas .

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
  
 
ULAR tedung selar seberat tiga kilogram yang ditemukan 
seorang jemaah di dalam tandas di Masjid Dol Said, Alor 
Gajah, semalam.

ALOR GAJAH: Niat seorang jemaah melepaskan ‘hajat’ terbantut selepas terkejut nampak seekor ular tedung selar menyorok di belakang mangkuk tandas di Masjid Dol Said di sini semalam. 

Dalam kejadian pukul 7.40 malam,  reptilia sepanjang 1.5 meter dan seberat tiga kilogram berjaya ditangkap dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Alor Gajah. 

Menceritakan detik cemas itu, Saadon Awang, 55, seorang pesara tentera berkata, kejadian berlaku ketika dia masuk ke tandas  selepas menunaikan solat Maghrib. 

“Saya tunduk untuk mengambil gayung di dalam baldi namun terkejut ternampak badan ular bergulung di sebalik tandas duduk.

“Saya  terus keluar dan melaporkan kepada pihak jawatankuasa masjid,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Katanya, haiwan itu dipercayai masuk ke dalam tandas  selepas pintu  dibiarkan terbuka, selain faktor kawasan yang lembap. 

Sementara itu, Pegawai Operasi APM Daerah Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, panggilan kecemasan diterima  pukul 7.52 malam. 

“Empat anggota ke lokasi dan kami mengambil masa enam minit untuk menangkap ular tersebut,” katanya. 

Tambah Abdul Hadi, operasi tangkapan mengambil sedikit masa disebabkan kawasan tandas yang kecil.

Katanya, ular tersebut kemudian dilepaskan ke habitatnya jauh dari kawasan penempatan.- UTUSAN


No comments: