Monday, November 30, 2020

Kes Adib: KDN, PDRM digesa beri penjelasan terkini – PEMBELA .

MGF02092020_PC-PEMBELA-ISLAM-PENEROKA-TANAH-HARAM05
Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan penjelasan berhubung perkembangan terkini kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Kassim.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya menegaskan, pihak berkuasa terbabit tidak sewajarnya membawa cerita baharu yang berlawanan dengan keputusan mahkamah koroner serta fakta-fakta keterangan peguam, Syazlin Mansor.

“PEMBELA memandang serius terhadap kekesalan yang dizahirkan oleh keluarga Allahyarham Adib yang mendakwa bahawa pihak polis tidak berhubung dengan pihak keluarga untuk memberitahu perkembangan terkini walaupun pihak peguam telah meminta polis segerakan siasatan.

“Penjelasan Menteri Dalam Negeri yang menyatakan untuk hanya mendakwa 12 suspek di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan adalah tidak munasabah sama sekali kerana kes ini melibatkan kematian.

“Pembela mempersoal kewajaran untuk diadakan inkues semula yang telah dicadangkan; mengapakah tidak diambil tindakan tuntas setelah selesai dibuat inkues pertama?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Genap dua tahun peristiwa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang hingga mengorbankan seorang anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang Jaya.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

PEMBELA juga memohon pejabat Peguam Negara agar tidak melengahkan kes ini lebih-lebih lagi apabila bekas Peguam Negara Tommy Thomas telah melakukan beberapa kesalahan besar ketika mengendalikan kes ini.

“Sekali lagi PEMBELA ingin menuntut agar semua pihak terlibat agar telus dan jujur bagi menyelesaikan kes ini dengan seadil-adilnya untuk menjaga kewibawaan dan integriti pemerintah dan negara.

“PEMBELA akan terus bersama keluarga Allahyarham Adib agar dia mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

No comments: